Akhirnya TRW dapat mata penuh
KOTA BHARU - Kelantan menutup tirai pusingan pertama Liga Premier dengan menewaskan Pulau Pinang 2-1 pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.
Ia merupakan kemenangan pertama diraih skuad kendalian Yusri Che Lah di laman sendiri sekali gus mampu meredakan kemarahan penyokong susulan prestasi buruk The Red Warriors, pada musim ini.
Tuan rumah bermula garang sebaik wisel permainan dibunyikan apabila melancarkan serangan tetapi rembatan leret Flavio Beck Junior mudah ditangkap kemas penjaga gol, Muhammad Hazrull Hafiz Zulkifly, seawal minit ketujuh.
Menuju minit ke-16, Kelantan dihadiahkan sepakan percuma namun tendangan Beck Junior tepat ke dakapan penjaga gawang pelawat itu.
Pulau Pinang yang lebih banyak diasak sepanjang awal perlawanan akhirnya berjaya mencipta peluang pertama pada minit ke-22 tetapi percubaan luar kotak penalti S Sivanesan berpunca hantaran Makeche Ndumba tersasar jauh daripada gawang.
Anak buah Manzoor Azwira Abd Wahid sekali lagi mencemaskan kubu akhir Kelantan tetapi Damien Lim mempamerkan ketangkasan dengan menguis keluar percubaan berbahaya Muhammad Afiq Azmi, dua minit kemudian.
Begitu pun, penantian tuan rumah untuk mencari jaringan semangat akhirnya terlerai apabila Nik Akif Syahiran Nik Mat merembat masuk hasil umpanan pendek Muhammad Danial Haqim Draman di dalam kotak penalti, pada minit ke-30.
Skuad The Red Warriors terus menjarakkan kedudukan 2-0 apabila bek kiri, Mohd Azwan Aripin melepaskan rembatan menarik yang menyaksikan bola menerjah jaring, tiga minit sebelum babak pertama berakhir.
Dua minit selepas babak kedua bersambung, pelawat berjaya merapatkan jurang apabila Ndumba memanfaatkan situasi kelam-kalut dengan menolak masuk menewaskan Damien Lim sekali gus menghasilkan gol pertama pasukannya.
Minit ke-68 menyaksikan tuan rumah hampir menambah jaringan tetapi percubaan leret Mohd Azwan sekadar melintasi pintu gol Pulau Pinang sekali gus gagal disambar rakan sepasukannya.
Berbaki 10 minit terakhir, skuad Harimau Kumbang terus melancarkan serangan tetapi Julian Bottaro terlepas peluang terbaik untuk mengikat kedudukan apabila percubaan kaki kirinya ditampan keluar Damien, pada minit ke-83.
Pelawat sekali lagi kempunan apabila tandukan kapten mereka, Kang Seungjo hasil hantaran Mohd Nurfais Johari gagal menepati sasaran dan kedudukan 2-1 kekal memihak Kelantan untuk mengutip mata penuh, pada pertemuan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!