Penyelia syarikat didakwa perdaya pengambilan pekerja asing

Gunasegaran (dua dari kiri) diiring polis sebaik tiba di mahkamah.
Gunasegaran (dua dari kiri) diiring polis sebaik tiba di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN- Seorang penyelia syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan memperdayakan seorang mangsa berhubung pengambilan pekerja asing yang melibatkan kerugian hampir RM200,000.

Tertuduh A Gunasegaran, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Norshila Kamaruddin selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memperdayakan seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun bahawa tertuduh boleh mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi pengambilan pekerja warga asing sedangkan ia tidak sebagaimana yang dijanjikan.

Ia telah mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM185,932 dengan memasukkan ke dalam tiga akaun bank milik tertuduh yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdaya demikian.

Kesalahan itu dilakukan pada Januari 2018 sehingga 5 Ogos 2022 di Lukut, Port Dickson.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574), sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir menawarkan jaminan RM100,000 kerana menyifatkan ia kesalahan serius selain mahkamah perlu mengambil kira jumlah kerugian dalam kes berkenaan.

Peguam, V Segaran merayu jumlah jaminan yang rendah atas alasan tertuduh perlu menanggung isteri serta tiga anak yang dua daripadanya masih belajar.

"Selain itu dia juga perlu menanggung ibu mertua yang sudah tua.

"Dia juga penyumbang utama ekonomi keluarga. Dia bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat, tetapi sudah lapan bulan tidak bekerja akibat pembedahan lutut,"katanya.

Norshila menetapkan jaminan RM50,000 dengan syarat tambahan pasport perlu diserah kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran.

Sebutan semula kes untuk serahan dokumen 12 Jun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!