Anak peniaga pasar malam cemerlang, balas pengorbanan abang
BANTING - Pengorbanan seorang abang tidak menyambung pelajaran demi memberi peluang adiknya meneruskan persekolahan berbalas, apabila anak kedua daripada lima beradik itu meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Muhammad Shahrul Nizam, 19, berkata, pengorbanan abang sulungnya amat dihargai kerana sanggup membantu ibu, Rahimah Osman, 40, dan ayah, Mustapha Salleh, 58, berniaga walaupun dia sendiri mampu menjadi pelajar cemerlang.
“Kejayaan saya hari ini adalah hasil pengorbanan ayah yang bekerja sebagai peniaga pakaian di pasar malam dan abang yang tidak meneruskan pelajarannya selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia untuk membantu keluarga," katanya.
Muhammad Shahrul berkata, dia bercita-cita menjadi guru namun tidak berhasrat menyambung pengajian ke luar negara walaupun berpeluang untuk mendalami bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Mesir.
"Saya akan melanjutkan pelajaran saya insya-ALLAH di universiti dalam negara sahaja kerana dapat membantu keluarga apabila cuti semester," katanya.
Muhammad Shahrul merupakan pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah Sungai Manggis memperoleh keputusan 10 Mumtaz (cemerlang) bagi STAM diumumkan pada Isnin.
Selain Muhammad Shahrul seorang lagi pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah Sungai Manggis, Muhammad Zaurein Rosman, 19, juga berjaya memperoleh keputusan cemerlang 10 Mumtaz (cemerlang) dalam STAM.
Menceritakan rahsia kejayaannya, anak kepada pasangan Rosman Boyamin, 50-an dan Norsahanah Sani, 40-an itu berkata, fokus kepada pelajaran menjadi kunci kejayaannya meraih keputusan cemerlang.
“Syukur, Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh keputusan Mumtaz untuk peperiksaan ini. Ini adalah hadiah untuk ibu bapa dan adik-beradik saya,” kata anak ketiga dari empat beradik itu.
Muhammad Zaurein berkata, kejayaan itu juga diperoleh kerana patuh dengan nasihat serta pesanan ayah yang mahu dirinya mengutamakan solat, membaca al-Quran dan sentiasa menjaga silaturahim dengan rakan-rakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!