Pengumuman PM isu harga tiket penerbangan dinanti rakyat
BATU PAHAT- Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, mengalu-alukan sebarang pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu kenaikan harga tiket penerbangan ke Sabah menjelang Aidilfitri.
Presiden MCA itu berkata, langkah menangani isu kenaikan harga tiket penerbangan itu merupakan khabar baik yang amat ditunggu-tunggu rakyat.
"Saya harap sesuatu yang positif dapat diambil untuk selesaikan masalah ini. Apa juga tindakan kerajaan untuk kurangkan harga tiket penerbangan ini adalah sesuatu yang diidamkan rakyat.
"Sempena Syawal ini, semua hendak balik kampung. Jika harga tiket penerbangan mahal, saya rasa kesihannya, bayangkan jika keluarga itu ada empat atau lima orang anak, sudah tentu perbelanjaannya besar," katanya pada sidang akhbar di Dewan UMNO Bahagian Ayer Hitam.
Hadir sama, Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon.
Pada Isnin, Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng menggesa agar Anwar campur tangan dalam isu harga tiket penerbangan ke Sabah yang didakwa naik mendadak menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Seterusnya, Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pada Selasa menggesa agar kerajaan dan pihak bertanggungjawab membuat penilaian semula harga tiket penerbangan ke Sabah sepanjang musim perayaan ini.
Bekas Menteri Pengangkutan itu, turut menyatakan isu yang dibawa berhubung kenaikan harga tiket penerbangan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak sebaliknya perkara tersebut melibatkan kos hidup rakyat.
"Saya perjuangkan isu harga tiket penerbangan ini bukan untuk ditujukan kepada sesiapa. Saya sudah beritahu saya tidak kisah zaman siapa yang memerintah, siapa jadi menteri tetapi kita kerajaan perlu jawab sebab melibatkan rakyat,"katanya.
Sebelum ini, Ka Siong dilaporkan mempertikai harga tiket penerbangan Kuala Lumpur-Tawau didakwa mahal sehingga mencecah RM3,138 sehala bagi kelas ekonomi, sempena Hari Raya Aidilfitri.
Ka Siong menerusi perkongsian Facebook, mendakwa jawapan diberikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ketika mengulas kenyataan awalnya berhubung harga terbabit, sebagai tidak berasas.
Malah, beliau mempersoalkan mengapa Anthony tetap membuat tuduhan liar bahawa apa diperkatakannya itu sebagai tidak tepat.
Anthony menafikan dakwaan kononnya harga tiket kelas ekonomi untuk penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 April ini, mencecah RM3,138.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!