‘Fitrah’ bakal menyentuh hati penonton

Filem pendek bertajuk ‘Fitrah’ akan mula bersiaran di media sosial rasmi Bank Rakyat jam 8 malam pada Selasa.
Filem pendek bertajuk ‘Fitrah’ akan mula bersiaran di media sosial rasmi Bank Rakyat jam 8 malam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Rakyat menampilkan kelainan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini menerusi penghasilan filem pendek yang memaparkan nilai kekeluargaan dalam mengharungi ranjau kehidupan.

Filem pendek bertajuk ‘Fitrah’ berdurasi enam minit lapan saat itu akan mula bersiaran di media sosial rasmi Bank Rakyat pada Selasa jam 8 malam.

Tambah Bank Rakyat, filem pendek terbitan Razor’s Edge Pictures Sdn Bhd itu menampilkan pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus selain Megat Adli, Aqilah Abbas dan pelakon cilik, Nur Rebecca Isabella.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, Fitrah mengisahkan tentang nilai kasih dan ihsan seorang ayah bernama Ibrahim kepada anak lelakinya, Ismail yang nekad untuk berpindah ke bandar bagi memulakan perniagaan demi meningkatkan kesejahteraan serta kemampanan kehidupan keluarganya.

“Berkat azam dan keyakinan Ismail serta isterinya, perniagaan mereka mula menunjukkan hasil. Meskipun begitu, Ismail tidak pernah lupa akan rasa hormat dan tanggungjawabnya untuk mengirimkan wang setiap bulan kepada bapanya di kampung,“ katanya pada Selasa.

Ujar Nizam, konflik penceritaan itu terjadi apabila pandemik Covid-19 melanda menyebabkan perniagaan dan wang simpanan Ismail kian merosot namun masih tidak pernah gagal untuk mengirimkan wang kepada ayahnya walaupun dengan jumlah yang sedikit.

“Mesej ini yang sarat dengan nilai murni kekeluargaan sejajar dengan konsep Malaysia Madani kami bawakan untuk tontonan orang ramai sempena Syawal kali ini. Kisah ini begitu dekat dengan rakyat Malaysia tidak kira di mana sahaja mereka berada.

"Kami berharap ia bakal menyentuh hati setiap penonton dan dijadikan sebagai pengajaran. Di samping itu, jalan cerita yang dipaparkan turut mengajar masyarakat akan kepentingan menabung dan memiliki simpanan lebih-lebih lagi dalam persekitaran pascapandemik Covid-19,” ujarnya.

Pada masa yang sama, menurut Nizam, filem pendek itu juga bertujuan bagi mengubah stigma masyarakat tentang kembali kepada fitrah.

“Bukanlah sesuatu yang mengaibkan untuk kita kembali ke desa bagi memulakan kehidupan semula selepas ditimpa kegagalan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!