Aidilfitri: Bekalan telur cukup, harga sayur turun

Azman (kiri) bersama Hanifa (dua dari kanan) meninjau Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri di Pasar Raya AEON, Kota Bharu pada Selasa.
Azman (kiri) bersama Hanifa (dua dari kanan) meninjau Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri di Pasar Raya AEON, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memberi jaminan bekalan telur, sayur-sayuran dan barangan basah lain mencukupi sekali gus mampu menampung keperluan pengguna menjelang sambutan Aidilfitri.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, jaminan tersebut diberikan oleh pengeluar yang akan memastikan bahan mentah itu sentiasa ada di pasaran.

"Pengguna tidak perlu takut dan membuat pembelian panik kerana semua barangan asas ada di pasaran.

"Selain itu, pengguna juga tidak perlu khuatir, harga sayur ketika ini menunjukkan penurunan.

"Penurunan itu hasil pemantauan yang dilakukan oleh pihak kami setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke program turun padang meninjau Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa yang dirasmikan oleh Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Azman memberitahu, sebanyak 212 tindakan kes telah direkodkan dari Januari hingga April.

"Ia melibatkan pelbagai kesalahan di bawah perundangan KPDN melibatkan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal serta tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dipamerkan untuk jualan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!