Buang yang keruh, jernihkan
SULTAN Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mencadangkan semua pihak agar bersemuka dan berbincang sekiranya ada sebarang perselisihan atau salah faham.
Bertitah di laman Facebook, baginda mahu sebarang perbezaan diketepikan demi kebaikan semua, khususnya rakyat.
“Sekiranya ada sebarang perselisihan atau salah faham, terutamanya yang melibatkan hubungan antara negeri Johor dan kerajaan pusat, saya sarankan kita ketepikan sebarang perbezaan.
“Sebaliknya, eloklah berjumpa dan saling berbincang dengan matang demi kebaikan semua, khususnya rakyat,” titah baginda.
Sebagai rakyat biasa yang melihat dari luar, dan mendengar dari jauh, saranan dari istana Johor itu amat dialu-alukan, dan patut difikirkan oleh semua.
TAN Sri Muhyiddin Yassin, menjelaskan perbezaan pendapat antara Perdana Menteri dengan Istana Johor bukan suatu perkara baik.
Tetapi, kalau tidak dijelaskan dan kedua pihak terus-menerus meluahkan perasaan menerusi media sosial, itu lagi tidak baik.
Kata Presiden Bersatu yang juga ADUN Gambir dan Anggota Parlimen Paguh itu: “(Kalau) A kata A, B kata B, rakyat akan keliru.”
Beliau mengalu-alukan saranan istana Johor kepada kerajaan Persekutuan agar membincangkan isu itu secara matang.
Sebagai ADUN di Johor, pernah menjadi menteri besar di negeri itu dan pernah juga duduk di Pusat sebagai menteri dan Timbalan Perdana Menteri, tentulah Muhyiddin amat memahami istana Johor.
Dalam waktu yang sama beliau kena juga memahami Putrajaya. Memang bukan mudah duduk di tengah-tengah antara Johor dan Putrajaya.
BERKATA lagi Muhyiddin bahawa pihak istana, khasnya Sultan Ibrahim, masih boleh mencampuri soal urusan negeri itu.
Tetapi tambah Adun Gambir yang juga Menteri Dalam Negeri itu, mencampuri urusan negeri janganlah sampai mengganggu proses pentadbiran kerajaan negeri.
Maka bertanyalah rakyat biasa, apa yang dimaksudkan mencampuri urusan negeri dan apa pula yang dimaksudkan dengan mengganggu pentadbiran?
Maka ada baiknya dijelaskan apa sebenarnya ‘mencampuri’ dan apa sebenarnya ‘mengganggu’. Kalau tidak dijelaskan rakyat akan bertambah keliru.
KERAJAAN Negeri Sembilan sedia mempertimbangkan skim bantuan kepada bapa tunggal menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri, Nicole Tan Lee Koon, perkara itu boleh diwujudkan sekiranya terdapat keperluan.
Pada hemat saya, bukan sahaja di Negeri Sembilan, skim seperti itu sepatutnya dilaksanakan di peringkat nasional. Kalau boleh jangan tangguh-tangguh, laksanakan segera.
Selama ini yang selalu diambil berat dan diperhatikan hanyalah ibu-ibu tunggal, bapa tunggal tidak ada siapa sudi memerhatikan. Percayalah, bapa tunggal pun perlukan perhatian!
SEDIKIT perkembangan luar negara, pemerintah tentera Sudan, Abdel Fateh al-Burhan memberitahu lebih AS$113 juta (RM475 juta) wang tunai tiga mata wang dirampas dari kediaman pemimpin tersingkir, Omar al-Bashir.
Seperti dilaporkan AFP, pasukan polis, tentera dan keselamatan menemui €7 juta (RM33 juta), AS$350,000 dan lima bilion Pound Sudan (RM441 juta) ketika serbuan di rumah Bashir.
Peguam Negara Sudan baru dilantik, Al-Waleed Sayyed Ahmed meminta semua pihak menghentikan permohonan perpindahan aset bekas pegawai dan ahli keluarga pentadbiran terdahulu.
Moral cerita: tidak kira di mana, dan siapa pun, sekiranya ada kuasa – dan pandai pula menyalah guna kuasa! – dengan mudah boleh menyimpan duit berjuta-juta-juta di dalam rumah...
AKHIR kalam, ada cadangan daripada pihak-pihak tertentu supaya Doraemon dijadikan salah satu karakter dalam kempen melawat Malaysia.
Siapa agaknya yang ‘berfikiran kartun’ dan sanggup mengagungkan watak terkenal animasi Jepun itu untuk kempen menarik orang luar datang ke sini?
Bukan kita anti-Jepun, tetapi rasanya kita pun ada karakter kartun dan animasi yang boleh dan lebih sesuai ditonjolkan sebagai bahan promosi.
Kepada sesiapa juga yang berfikiran kartun, jangan hanya tengok dan taksub kartun serta animasi luar. Sedarlah diri, bukalah minda dan lihat keliling kita. Kita pun ada kartun dan animasi yang diterima serta terkenal di seluruh dunia!
Tok Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!