Wanita tidak mengaku curi RM8,200 beli iPhone 14 Pro

Nur Humaira (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa.
Nur Humaira (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang tular di media sosial berhubung kehilangan kad debit ibu saudara tirinya dan menggunakan wang RM8,200 untuk membeli telefon pintar jenama iPhone 14 Pro didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan mencuri bulan lalu.

Nur Humaira Shanuk Haziki, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan termasuk pilihan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Majistret Nadia Othman.

Mengikut pertuduhan utama, penganggur itu didakwa mencuri kad debit Nor Farah Hanim Mohd Alias, 26, serta mengeluarkan wang berkenaan tanpa pengetahuan mangsa di sebuah pangsapuri di Chow Kit di sini pada 23 dan 24 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa menyalahgunakan wang milik mangsa sama, yang dikeluarkan dari akaun bank tanpa pengetahuannya, di lokasi dan tarikh serupa.

Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit tidak mencadangkan ikat jamin kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Nur Humaira yang tidak diwakili peguam merayu agar dia dibenarkan untuk diikat jamin pada kadar yang rendah.

Nadia kemudiannya membenarkan wanita itu diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan kes itu.

Pada 14 April lalu, media melaporkan seorang wanita ditahan di Pandan Perdana dekat sini bagi membantu siasatan kes kehilangan wang RM8,200 daripada akaun ibu saudaranya untuk membeli telefon pintar iPhone 14 Pro.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada seorang wanita tempatan pada 25 Mac lalu.

Menurutnya, polis menemukan kad ATM milik mangsa dan merampas telefon pintar dipercayai dibeli menggunakan wang tersebut.

Kejadian itu didedahkan oleh mangsa menerusi satu hantaran Facebook yang mendakwa seseorang telah mencuri kad ATM berkenaan semasa menumpang tidur di rumahnya.

Dalam hantaran itu, mangsa meluahkan perasaan terkilan apabila layanan baik untuk membantu individu itu dibalas dengan cara sedemikian lebih-lebih lagi ia berlaku pada minggu pertama Ramadan.

Katanya, dia terkejut apabila akaunnya hanya berbaki RM500 menyebabkan mangsa tidak mampu membayar semua komitmen bulanan termasuk sewa rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!