Diskaun khas bahan mentah kepada pengusaha Menu Rahmah

Anwar ketika menyampaikan perutusan khas sempena perayaan Aidilfitri 2023 di Bangunan Perdana Putra pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar ketika menyampaikan perutusan khas sempena perayaan Aidilfitri 2023 di Bangunan Perdana Putra pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju memberi kadar diskaun khas kepada pengusaha Menu Rahmah bagi mendapatkan barangan mentah di pasaran terpilih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghargai sumbangan pengusaha menu berkenaan dalam menjayakan aspirasi Madani untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

"Kerajaan cakna dan prihatin dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung pengusaha bagi mendapatkan bekalan bahan mentah.

"Bagi memastikan kelestarian inisiatif Menu Rahmah, kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha pada kadar diskaun khas.

"Maklumat lanjut mengenai diskaun itu akan diperincikan oleh KPDN (Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup)," katanya pada sidang akhbar di Perdana Putra pada Selasa.

Anwar berkata, ikhtiar tersebut diharap mampu memberi kelegaan kepada pengusaha dan seterusnya memastikan kelangsungan pelaksanaan Menu Rahmah yang telah memberi manfaat kepada rakyat.

Sementara itu Perdana Menteri turut mengumumkan, kerajaan dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) serta pemaju perumahan swasta akan menawarkan harga simen pada kadar berpatutan bagi manfaat pemaju rumah mampu milik.

"Ikhtiar ini menumpukan kepada kategori rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah yang akan memanfaatkan golongan B40 dan M40 dengan pengurangan harga rumah maksimum sehingga RM5,000 mengikut jenis dan harga rumah.

"Mengambil kira pengurangan harga simen ini berbanding harga pasaran, ia melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM120 juta insentif swasta yang diberikan oleh pembekal simen kepada pembeli rumah melalui pemaju perumahan.

"Insentif swasta ini dijangka mencukupi untuk pembinaan rumah mampu milik sehingga 24,000 unit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!