Berbahasalah apabila berbicara
DINO, Mat, Faruqi dan beberapa lagi pasukan sokongan kecemasan bergegas ke tempat kebiasaan berlakunya banjir. Mereka bersedia dengan kelengkapan yang ada dan tanpa melengahkan masa terus ke lokasi.
Sampai di lokasi, mereka akan memantau keadaan dahulu sebelum mendapat arahan untuk menutup atau melencongkan aliran trafik. Jika keadaan masih boleh dilalui oleh kenderaan, mereka akan memantau sahaja dahulu.
Jika keadaan mendesak, maka mereka akan melencongkan aliran trafik untuk memudahkan kenderaan melaluinya. Jika keadaan semakin buruk, maka mereka akan bersedia menerima arahan untuk menutup jalan.
Begitulah suasana setiap kali berlaku hujan lebat. Keadaan begini sering terjadi pada musim tengkujuh atau pun hujan lebat yang disusuli dengan air pasang. Mereka sebenarnya akan bertindak sebagai pasukan sokongan untuk membantu pasukan peronda lebuh raya dalam memastikan pengguna dapat melalui lebuh raya dengan selamat.
Keadaan begini kadang-kadang mengundang bahaya juga buat mereka. Mereka berdepan dengan bahaya yang mungkin tidak berbau. Beberapa kali juga motor yang bergerak dengan laju menyimbah air ke muka mereka.
Kadang-kadang ada juga pengguna yang tidak mendengar kata, apabila diarahkan untuk menggunakan jalan lain, tetapi mereka berkeras untuk menggunakan jalan itu juga. Akibatnya enjin kenderaan dimasuki air. Lantas menyebabkan kesesakan lalu-lintas.
Walaupun begitu, pasukan sokongan kecemasan dan peronda lebuh raya tidak pernah berputus asa, malah bersedia pada bila-bila masa untuk menjalankan tugas demi keselamatan orang ramai.
Pernah kejadian banjir berlaku di tengah malam. Mereka inilah yang bertungkus-lumus memastikan keadaan terkawal. Bukan senang untuk menjalankan tugas ini, lagipun keadaan yang berbahaya dan pada masa sama terdedah dengan kemalangan.
Di samping itu, kelengkapan dan peralatan seperti lampu, papan tanda arah dan peralatan keselamatan sendiri harus sentiasa dipakai ketika bertugas. Ini adalah langkah keselamatan yang perlu diberi perhatian untuk mencegah berlakunya kecelakaan.
Sebelum ke tempat lokasi, mereka akan memastikan peralatan ada dan mencukupi.
“Mat, baton light ada?” tanya Dino.
“Ada dua. Cukup tak?” jawab Mat.
“Cukup, cukup,” balas Dino yang dikenali dengan nama samaran Pakcik Kordi.
“Peralatan kena cukup, nanti LLM tanya," kata Faruqi.
LLM atau Lembaga Lebuhraya Malaysia sentiasa memantau konsesi lebuh raya untuk memastikan keadaan lebuh raya memenuhi piawaian yang dikehendaki.
Jika berlaku sesuatu perkara seperti banjir dan juga kemalangan, pihak konsesi perlu memberi notifikasi kepada pihak LLM. Ini perlu untuk memastikan supaya keadaan yang berlaku sentiasa dalam kawalan.
Baru-baru ini berlaku lagi kejadian banjir. Disebabkan hujan yang lebat dan air naik, maka pasukan kecemasan yang diketuai oleh Akhir bersama Dino dan Faruqi serta beberapa orang yang lain bergegas ke lokasi untuk mengawal keadaan.
Hujan yang tidak menentu ini menjadikan mereka sentiasa dalam keadaan bersedia. Lebih-lebih lagi apabila pihak LLM yang sedang menanti notifikasi bertanya.
Notifikasi akan dihantar oleh pegawai pengurusan trafik atau pegawai keselamatan trafik lebuh raya. Jika mereka tidak dapat menghantar notifikasi, maka pengurus teknikal lebuh raya pula yang akan bertanggungjawab.
Kadang-kadang kami ditegur juga oleh pihak LLM apabila melibatkan peralatan yang mungkin tidak lengkap dan juga mungkin tidak menepati keperluan keselamatan.
“Kon tak ada pantulan. Ganti segera," kata pegawai LLM.
“Baik tuan, kami ambil maklum,” kata pegawai pengurusan trafik lebuh raya.
“Huh, kenyataan sama sahaja bila ditegur," kata pegawai LLM yang lain pula.
Kadang-kadang pasukan sokongan kecemasan terasa hati juga. Walaupun bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab tetapi terasa tidak dihargai. Seharusnya berilah sokongan dengan melihat kepada perubahan yang berlaku, bukan memandang dengan mata tertutup.
Apa salahnya kalau berkata: “Bagus, ada peningkatan dari segi peralatan dan penutupan jalan. Boleh tingkatkan lagi pada masa hadapan. Keselamatan itu penting.”
Bukankah elok berbahasa begitu. Berbahasalah bila berbicara.
*Faisal Mohamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!