Anak dapat taraf warganegara hadiah istimewa Aidilfitri
SEREMBAN - Sambutan Aidilfitri kali ini menjadi lebih bermakna buat dua pasangan suami isteri apabila anak angkat mereka akhirnya mendapat taraf kewarganegaraan.
Selepas bertahun-tahun berusaha dan menanti, pasangan Zairina Lubis Nordin, 38, dan Ahmad Hafizi Hanafi, 45 serta Ika Farah Aqila Abdul Kamal, 35 dan Nor Shahrezan Talib, 42, kini boleh menarik nafas lega.
Malah mereka menyifatkan sijil kewarganegaraan yang diterima merupakan hadiah teristimewa sempena hari raya.
Menurut Zairina, bukan mudah perjalanannya untuk mendapatkan sijil kewarganegaraan buat anaknya dan tanpa adanya sokongan keluarga, tentunya dia sudah berputus asa.
"Ia satu perjalanan yang panjang iaitu sebaik saja dia selamat dilahirkan oleh ibu kandungannya yang merupakan warga Indonesia, saya terus mulakan keseluruhannya dari A sampai Z.
"Usaha itu tak pernah berhenti dan saya juga tahu bukan sewenang-wenangnya kerajaan nak bagi kewarganegaraan ini.
"Bila diberitahu anak saya dapat taraf kerakyatan itu saya bersyukur sangat dan kini tak fikir sangat soal raya kerana terlalu gembira," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, anugerah kewarganegaraan bukan satu benda yang biasa-biasa dan ia sangat besar nilainya kepada seluruh rakyat Malaysia.
Tambahnya, sebagai rakyat negara ini anaknya Azzalea Zuleykha Hafizi yang kini berusia tujuh tahun layak menerima segala manfaat yang ada terutama dalam bidang pendidikan dan perubatan.
Nor Shahrezan pula berkata, prosesnya mendapatkan taraf kewarganegaraan buat Muhammad Rizky Shahmin Abdul Rahman yang dijaga sejak kecil mengambil masa lebih kurang enam tahun.
Katanya, dia tidak pernah berputus asa kerana tidak mahu masa depan anaknya terganggu dek kerana statusnya yang bukan rakyat negara ini.
"Paling pentingnya untuk dapatkan insurans dan segala kemudahan yang disediakan kerajaan. Tapi sekarang saya tak perlu risau lagi.
"Kalau ikutkan memang serik sebab perlu ke sana sini buat urusan pengambilan anak angkat, tapi Alhamdulillah akhirnya Allah dengar doa saya dan isteri," katanya.
Kedua-dua mereka ditemui Sinar Harian baru-baru ini selepas menerima surat keputusan permohonan kewarganegaraan disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!