Kes Covid-19 dalam negara masih terkawal - Dr Zaliha

Dr Zaliha Mustafa
Dr Zaliha Mustafa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes Covid-19 di dalam negara ini masih lagi terkawal meskipun berlaku sedikit peningkatan kebelakangan ini dan rakyat tidak perlu panik, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, kes kematian akibat Covid-19 juga masih rendah dengan pesakit yang meninggal dunia melibatkan warga emas dan individu yang mempunyai penyakit komobid.

Katanya, meskipun penularan subvarian Omicron adalah lebih cepat berbanding varian sebelum ini, namun ia masih lagi terkawal dan tidak mempunyai simptom yang teruk.

"Subvarian yang kita (KKM) kenal pasti adalah XBB 1.5, XBB 1.16 dan XBB 1.9.1 dan ia masih lagi jenis Omicron,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sesi town hall Kertas Putih Kesihatan di sini pada Selasa.

Dr Zaliha dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka sekiranya mempunyai sebarang gejala.

"Kami juga mengalakkan individu yang bergejala untuk melakukan ujian saringan Covid-19 serta pakai pelitup muka khususnya di hari raya ini ketika bertemu dengan keluarga dan sebagainya. Jika anda mempunyai gejala, elakkan menyebarkan virus tersebut kepada keluarga yang lain,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata seramai 4,264 pegawai perubatan kontrak telah dilantik ke jawatan tetap setakat semalam.

"Saya menerima pelbagai respons positif, ada yang mengucapkan terima kasih kepada KKM kerana membantu doktor yang terlibat dan insya-Allah kita akan lihat skim-skim (yang) lain (juga),” katanya.

Pada 4 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan seramai 12,800 daripada 20,330 doktor lantikan kontrak akan diserap ke jawatan tetap dalam tempoh tiga tahun dengan membabitkan peruntukan tambahan RM1.7 bilion.

Terdahulu, Dr Zaliha turut melancarkan laman sesawang Kertas Putih Kesihatan bagi pengguna untuk mendapatkan maklumat berkaitan serta memberi cadangan atau pandangan mengenai inisiatif tersebut.

Beliau berkata, Kertas Putih Kesihatan akan dibentangkan di Parlimen pada Jun ini.- Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!