Kanak-kanak 7 tahun didera, dirogol

Kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun ditemui dalam keadaan tidak terurus di tepi jalan dekat Manjung dipercayai dera dan rogol. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Chong Boo Khim
Kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun ditemui dalam keadaan tidak terurus di tepi jalan dekat Manjung dipercayai dera dan rogol. - Gambar hiasan 123RF, gambar kecil: Chong Boo Khim
A
A
A

MANJUNG - [DIKEMAS KINI] Penemuan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dalam keadaan tidak terurus di tepi jalan Batu 7 Segari di sini membongkar satu kejadian dera dan rogol.

Kanak-kanak berkenaan ditemui seorang lelaki tempatan sekitar jam 11.50 pagi pada Isnin sebelum membawanya ke balai polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa dijumpai dalam keadaan tidak terurus dan kusut masai ketika kejadian.

"Hasil pemeriksaan dilakukan pihak perubatan mendapati, mangsa dipercayai telah dirogol dan didera.

"Terdapat kesan kecederaan lama dan baru pada tubuh mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, berdasarkan laporan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah telah membuat tangkapan ke atas ibu kandung dan dua bapa tiri mangsa disyaki terlibat dalam kejadian itu.

Katanya, suspek berusia 29, 26, dan 40 tahun itu ditahan di pekarangan balai polis sekitar jam 9.30 malam.

"Semakan mendapati, ketiga-tiga mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mereka kini direman sehingga 23 April untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!