Artis kena 'gam', Wan Saiful minta Fahmi beri penjelasan

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Penerangan Parti Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta Menteri Komunikasi dan Digital memberikan penjelasan berhubung dakwaan bahawa terdapat pegawai Radio Televisyen Malaysia (RTM) diarahkan menyekat persembahan artis tertentu atas isu politik.

Jelas beliau, menerusi maklumat yang diterima, pegawai tersebut turut diarah memeriksa ‘latar belakang’ seseorang artis sebelum dijemput membuat persembahan.

“Adakah ini bermaksud Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kini menyekat artis yang mempunyai latar belakang tidak sealiran dengan Pakatan Harapan (PH)-UMNO? Adalah wujud arahan baru untuk 'gam' artis pula?

“Jika benar ada unsur kepartian sempit dalam perkara ini, maka ia adalah langkah mundur dan zalim. Golongan artis tidak wajar dinilai dengan lensa politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Wan Saiful menambah, Fahmi digesa untuk menjalankan siasatan bagi mengelakkan nama baik kerajaan terus tercemar.

“Jika dakwaan ini benar, ia adalah satu perkara malang, apatah lagi dalam keadaan kita amat hampir dengan Aidilfitri yang sepatutnya menjadi hari gembira buat kita semua.

“Fahmi sebelum ini adalah pejuang kebebasan bersuara. Apabila memegang kuasa, jangan jadi kuku besi yang menggunakan kuasa untuk menutup mulut dan periuk nasi rakyat termasuk golongan artis,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!