2 wanita nyaris maut Proton X70 terbakar, rempuh belakang lori

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dua wanita nyaris maut apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki terbakar selepas merempuh belakang lori dalam kejadian di Kilometer 31.7 Lebuhraya Kemuning-Shah Alam di sini pada Selasa.

Kedua-dua mangsa merupakan wanita warga tempatan masing-masing berumur 37 tahun dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.05 malam.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 11.11 malam.

"Kemalangan melibatkan SUV jenis Proton X70 yang terbakar 50 peratus setelah melanggar bahagian belakang sebuah lori tiga tan jenis Hino yang membawa muatan air," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kejadian melibatkan penumpang dan pemandu Proton X70 terbabit dan kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan selanjutnya.

"Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!