Terima 5,000 tempahan buluh lemang sempena Aidilfitri
SHAH ALAM - Aidilfitri kali ini yang disambut meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya akibat Covid-19 membawa rezeki berganda kepada pembekal buluh lemang.
Manakan tidak, apabila permintaan buluh lemang meningkat berbanding tiga tahun sebelum ini sehingga ada peniaga tidak mampu memenuhi permintaan dari tempat yang jauh.
Seorang pembekal, Zuraidah Mustapfa Kamal, 38, berkata, dia menerima tempahan melebihi 1,000 batang buluh lemang pada minggu pertama Ramadan dan dijangka meningkat sehingga 5,000 pada minggu terakhir Ramadan.
Menurut Zuraidah, dia yang dibantu suaminya, Mohd Khairul Nizam, 42, sebenarnya baru sahaja memulakan perniagaan itu pada tahun ini dengan seorang rakan kongsinya, Norhayati Yaacob, 38.
“Saya agak terkejut kerana tidak sampai seminggu berpuasa, sudah mendapat tempahan lebih 1,000 batang buluh.
“Disebabkan sambutan menggalakkan kami tidak menang tangan dan bimbang juga jika buluh tidak mencukupi untuk memenuhi tempahan,” katanya.
Menurutnya, buluh lemang itu dijual pada harga RM1.50 seruas di rumahnya dan RM1.70 seruas jika pelanggan meminta untuk dihantar ke lokasi mereka di sekitar Selangor serta ke luar negeri ini jika pesanan banyak.
Sementara itu, seorang lagi pembekal, Hamzah Abdul Aziz, 56, berkata, peningkatan tempahan pada tahun ini berikutan orang ramai teruja menyambut Aidilfitri.
Selain membekalkan buluh lemang, dia juga menjalankan perniagaan lemang di tepi jalan utama di Kapar, Klang.
“Sebab itu saya terpaksa menolak tempahan daripada peniaga di tempat yang jauh lebih awal kerana bimbang tidak sempat dihantar menjelang raya,” katanya yang memaklumkan setakat ini menerima lebih 5,000 tempahan buluh lemang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!