Jaga mulut, adab ketika hari raya
Lebih kurang tiga hari lagi semua umat Islam di seluruh negara akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Tentunya ia akan disambut meriah di kampung halaman masing-masing, di samping keluarga tersayang.
Kanak-kanak paling gembira, di samping dapat pakai baju baharu, ini lah masanya untuk mereka tambah duit tabung dengan mengumpul duit raya.
Orang dewasa pun, apa kurangnya. Hari raya lah waktu terbaik untuk berkumpul sanak saudara, yang jauh dan yang dekat. Berkongsi cerita, bergurau senda.
Sambutan Aidilfitri ini adalah saat terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan aktiviti kunjung-mengunjungi pada Hari Raya Aidilfitri.
Namun, dalam keghairahan bercerita dan bergurau, ada beberapa perkara sensitif yang tidak perlu dibawa bercerita.
Banyak isu sensitif yang perlu kita elak, demi menjaga hati ahli keluarga dan sanak saudara. Jangan lah dalam kita bergembira, sampai lupa mana yang patut diungkap atau ditanya dan mana yang tidak patut dibuat gurauan.
Pendek kata, jaga mulut, jaga kata-kata, itu yang penting. Zaman sekarang, bukan ada 'makcik bawang' saja, 'pakcik bawang' pun sama naik.
Untuk mereka yang bujang, jangan lah asyik-asyik tanya bab jodoh. Boleh spoil mood tau. Sampai seru, kahwin lah, sibuk nak tanya, buat apa?
Tak cukup dengan itu, ditanya pula dah kumpul duit kahwin belum? Siapa calon?
Bagi mereka yang sudah berumah tangga, tak perlu lah tanya bab zuriat. Bukan kah itu semua urusan ALLAH SWT? Belum ada anak, ditanya bila nak ada anak, dah ada anak seorang, ditanya pula bila nak tambah.
Apabila ada ramai anak lelaki, tanya pula bila nak tambah lagi untuk dapat anak perempuan pula.
Bagi mereka yang masih belajar, elakkan bertanya mengenai pointer sebaliknya tanya macam mana study sekarang. Kan lebih elok daripada tanya pencapaian mereka dalam pelajaran.
Itu belum masuk bab komen fizikal lagi. Ini lagi lah sensitif. Jangan lah tanya kenapa badan makin berisi, kenapa makin kurus dan sebagainya.
Semua soalan-soalan ini akan membuat orang tergores hati dan tawar hati untuk meneruskan perbualan.
Banyak lagi soalan lain yang boleh ditanya, yang boleh membuatkan tempoh perbualan menjadi panjang.
Antara soalan-soalan itu adalah berkenaan pekerjaan masing-masing, kongsi perkara menarik yang berlaku ketika bekerja, bercerita mengenai isu semasa (elakkan berkaitan seks dan politik) dan meminta cadangan atau pandangan mengikut kemahiran masing-masing.
Selain jaga mulut, kita juga perlu menjaga adab ketika beraya di rumah orang, tidak kira lah rumah saudara sendiri atau kenalan.
Pilih lah masa yang sesuai, jangan terlalu awal pagi dan jangan lah terlalu lewat malam. Tuan rumah pun nak rehat juga.
Adab ketika di meja makan pun harus dititik berat. Jangan terlalu gelojoh dan ambil makanan dalam kuantiti yang terlalu banyak.
Kepada yang ada anak, jaga lah tingkah laku anak-anak. Jangan dibiarkan terlalu bebas di rumah orang, panjat sana sini, masuk bilik tidur dan berlari-lari di dalam rumah. Bimbang akan terkena pasu atau barangan kaca lalu pecah.
Jangan anak-anak yang masih kecil makan sendiri sehingga bersepah rumah orang. Seeloknya, ibu atau bapa mereka suap bagi mengelakkan lantai atau meja makan bersepah dengan makanan.
Selain itu, kawal anak-anak agar tidak membuka sampul duit raya di hadapan tuan rumah atau tetamu lain. Ajar anak-anak supaya menghormati pemberian orang.
Bagi mengelak perkara itu berlaku, ibu bapa perlu tegas dengan mengambil dan menyimpan sampul duit raya yang diterima anak-anak sehingga pulang ke rumah sendiri.
Penulis teringat dengan kata-kata ini, masuk lah rumah orang lain dalam keadaan buta dan keluar lah rumah orang dalam keadaan bisu.
Ini bermakna, apa sahaja yang kita nampak, dengar atau berlaku di rumah orang yang dikunjungi, jangan kita membawa mulut dan bercerita kepada orang lain.
Jaga aib dan maruah tuan rumah, ia juga dikira sebagai hormat menghormati sesama manusia dalam menjaga privasi.
Kesimpulannya, jaga tingkah laku, adab dan mulut kita pada hari raya kelak. Jangan sia-siakan peluang beraya dengan perkara-perkara negatif. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.
* Syajaratulhuda Mohamad Rosli ialah wartawan Sinar Harian Pulau Pinang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!