Bawa BTS bukan saja-saja!
SHAH ALAM - Inisiatif Kementerian Belia dan Sukan membawa masuk kumpulan K-Pop terkenal, BTS membuat persembahan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 bertujuan mengubah trend agar Malaysia menjadi pilihan destinasi konsert antarabangsa.
Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Malaysia sebelum ini berada di belakang dalam perkara ini berbanding negara jiran sehingga merugikan kita.
Katanya, sekiranya Malaysia menjadi destinasi pilihan ia sekali gus dapat memberi impak ekonomi kepada rakyat Malaysia.
"Tak serik ke kita asyik tewas kepada Singapura, Thailand, sekarang ini, juga di tangan Indonesia dan Vietnam. Saya nak ubah trend ini.
ARTIKEL BERKAITAN: KBS dalam usaha bawa kumpulan K-Pop BTS ke Malaysia
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Amanah bidas cadangan Syed Saddiq bawa artis K-Pop
"Dahulu, Malaysia sentiasa dipilih sebagai destinasi utama bagi persidangan peringkat antarabangsa dan konsert antarabangsa yang menarik minat banyak pelancong luar. Saya tidak mahu Malaysia untuk jadi kedua, ketiga tempat destinasi pilihan, saya mahu Malaysia jadi nombor satu," katanya dalam satu kenyataan di Instagramnya.
Syed Saddiq sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya kini dalam usaha membawa masuk kumpulan K-Pop terkenal, BTS ke Malaysia untuk membuat persembahan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Menurutnya, usaha itu turut dilakukan dengan kerjasama Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes.
Bagaimanapun usaha beliau mendapat kritikan setengah pihak terutamanya golongan artis tempatan yang mendakwa usaha itu seolah-olah menganaktirikan industri muzik tempatan.
Mengambil contoh Singapura, Syed Saddiq berkata, apabila kumpulan Coldplay dan BTS memilih Singapura sebagai destinasi pilihan, stadium nasional mereka penuh dan tiket habis terjual kurang dari empat jam.
"Berpuluh ribu pelancong luar datang ke Singapura dan Singapura juga yang dapat “multiplier effect” in tourism. "The eyes of the world were on Singapore, not Malaysia," katanya.
Syed Saddiq turut memberi contoh apabila Ed Sheeran membuat persembahan di Stadium Bukit Jalil.
"Penuh stadium! Orang Singapura dan Indonesia pun turun ke Malaysia. Stadium dan peralatan disewa dan peniaga peniaga kecil juga dapat nikmatnya. Sama juga semasa Tokti (Siti Nurhaliza) membuat persembahan di Axiata Arena, penuh dan ramai yang dapat nikmatnya.
"Di Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jepun, Indonesia, pun mereka jemput artis luar untuk datang, adakah ia bermaksud mereka tidak menghargai artis tempatan mereka? Kita mesti berani berfikir di luar kotak," tulisnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!