Pengadil siku Robertson kembali bertugas
CONSTATINE Hatzidakis akan kembali memulakan tugasnya dalam saingan liga divisyen dua selepas insidennya menyiku pertahanan Liverpool, Andy Robertson.
Penolong pengadil itu disiasat oleh Persatuan Bola Sepak (FA) berhubung insiden ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan The Reds menentang Arsenal, awal bulan ini.
Rakaman televisyen menunjukkan Hatzidakis mengangkat sikunya sehingga terkena dagu Robertson di penghujung separuh masa pertama.
Robertson yang membantah tindakan itu dilayangkan kad kuning oleh pengadil Paul Tierney.
Bagaimanapun, Hatzidakis dilaporkan sudah memohon maaf kepada kapten pasukan kebangsaan Scotland itu.
Dia akan bertindak sebagai penolong pengadil dalam perlawanan di antara Preston North End dan Blackburn Rovers di Deepdale pada Ahad ini.
Kemudian, dia akan kembali bertugas dalam saingan EPL mengendalikan video bantuan pengadil (VAR) bagi pertembungan Leeds United dan Leicester City di Elland Road.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!