Hampir 2 juta kenderaan dijangka masuk utara menjelang Aidilfitri
KUBANG PASU - Hampir dua juta kenderaan dijangka memasuki negeri sebelah utara menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, jumlah itu termasuk kenderaan yang akan melalui Kedah untuk pergi ke Perlis dan pantai timur.
Menurutnya, dalam Op Selamat kali ini, terdapat 13 lokasi 'blackspots' yang diberi lebih tumpuan kerana kerap berlaku kemalangan.
"Lokasi terbabit masing-masing dua lokasi di daerah Kuala Muda, Baling dan Kulim/Bandar Baharu manakala tujuh lokasi di daerah Sik," katanya ketika ditemui selepas majlis serahan sumbangan Aidilfitri kepada petugas-petugas di Martak Bukit Kayu Hitam, di sini pada Rabu.
Wan Hassan berkata, seramai 220 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Pengangkutan Trafik (JSPT) ditugaskan untuk memastikan kawalan lalu lintas di seluruh Kedah berjalan lancar.
"Mereka ini akan turut dibantu 89 anggota polis dari elemen yang berlainan untuk melancarkan operasi," katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba dan memandu secara berbahaya.
"Memandu dengan berhati-hati supaya sampai ke kampung halaman dalam keadaan selamat.
"Selain itu, bagi mereka yang mahu meninggalkan rumah sepanjang Aidilfitri ini, sila maklum kepada balai polis berdekatan supaya rondaan dan pengawasan secara berkala dapat dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Wan Hassan berkata, polis telah meluluskan 136 daripada 152 permohonan untuk menjual bunga api dan mercun di seluruh Kedah.
"Pasukan pemantau juga sentiasa membuat pemantauan di pasar malam dan bazar Ramadan bagi memastikan hanya bunga api dan mercun yang diluluskan sahaja boleh dijual kepada pembeli," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!