18 calon STAM Pahang raih pangkat mumtaz

Seramai 18 daripada 274 calon yang menduduki peperiksaan STAM 2022 di Pahang berjaya mendapat pangkat mumtaz (cemerlang). - Gambar hiasan
Seramai 18 daripada 274 calon yang menduduki peperiksaan STAM 2022 di Pahang berjaya mendapat pangkat mumtaz (cemerlang). - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seramai 18 daripada 274 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2022 di negeri ini berjaya mendapat pangkat mumtaz (cemerlang).

Berdasarkan keputusan peperiksaan STAM 2022 yang diumumkan pada Selasa, dua daripada pelajar memperoleh keputusan cemerlang itu dengan 10 mumtaz dalam semua mata pelajaran.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, seramai 76 calon mendapat pangkat jayyid jiddan (amat baik), 119 pangkat jayyid (baik) dan 14 orang mendapat pangkat maqbul (lulus).

Menurutnya, 47 calon gagal dan 10 lagi tidak hadir peperiksaan.

Syed Ibrahim
Syed Ibrahim

"Secara keseluruhannya, keputusan peperiksaan STAM 2022 bagi negeri Pahang menunjukkan peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 0.17 dari 2.94 pada tahun 2021 kepada 2.77 pada tahun lalu manakala gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) menunjukkan peningkatan semua mata pelajaran.

"Tahniah kepada dua buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di atas peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu Maahad As Sultan Haji Ahmad Shah, Jengka yang memperoleh 2.71 berbanding 3.04 bagi tahun 2021 dan Kulliah Al Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan memperolehi 2.73 pada tahun ini berbanding 2.99 tahun sebelumnya," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Syed Ibrahim berkata, peratusan lulus calon setiap pusat peperiksaan juga menunjukkan peningkatan dengan Maahad As-Sultan Haji Ahmad Shah Ad Dini, Bandar Pusat Jengka menunjukkan peningkatan paling tinggi dari 61.8 peratus pada 2021 kepada 84.62 peratus tahun lalu.

"Kulliah Al Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar telah mencatat 83.97 peratus calon lulus, Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Khairiah,Temerloh (65.96 peratus) dan SMA Al Wosto, Temerloh (66.67 peratus) manakala Sekolah Agama Bantuan Kerajaan SMA Al Maarif Bukit Goh di sini mengekalkan peratus 100 peratus lulus," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!