25 banduan Kelantan dapat pulang beraya
Pengarah Pusat Koreksional Machang, Penolong Kanan Komisioner Mohd Nasir Yusof berkata, kesemua banduan lelaki itu dibebaskan melalui program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).
“Mereka berusia antara 20 hingga 60 tahun yang menjalani hukuman penjara kurang setahun.
“Banduan-banduan ini sudah melalui tapisan yang ketat dan mempunyai rekod disiplin serta kerohanian amat baik sepanjang menjalani hukuman di dalam penjara,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis PBSL di penjara itu pada Rabu.
Menurut beliau, PBSL mampu mengatasi kesesakan dalam penjara selain memberi peluang kedua kepada banduan untuk bersedia dan kembali berada dalam masyarakat.
“Di bawah PBSL juga, meraka akan bekerja di bawah majikan-majikan yang terpilih merangkumi bidang antaranya automotif, pengilangan dan pembuatan makanan.
“Kebanyakan mereka mempunyai baki hukuman penjara antara tempoh sebulan hingga empat bulan sebelum bebas sepenuhnya,” katanya.
Tambah beliau, secara keseluruhan tahun ini sehingga Rabu, seramai 275 banduan terpilih menyertai program PBSL manakala 607 banduan menyertai program sama tahun lalu.
“Mereka yang melanggar syarat seperti mengulangi kesalahan boleh dibatalkan daripada menyertai program ini.
“Jabatan Penjara tidak fokus terhadap hukuman semata-mata, sebaliknya melebarkan kefungsiaan kepada pemulihan para banduan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!