Tempahan hotel meningkat, inap desa habis ditempah
JOHOR BAHRU - Tempahan hotel meningkat manakala inap desa yang terletak berdekatan bandar raya Johor Bahru pula menjadi pilihan bagi perantau yang pulang berhari raya di negeri ini.
Setiuasaha Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Johor, Yvonne Loh berkata, terdapat peningkatan hampir 30 peratus tempahan hotel yang diterima bagi sambutan Aidilfitri.
Katanya, hotel di kawasan peranginan yang berdekatan dengan kampung seperti Desaru Kota Tinggi menjadi pilihan perantau untuk menginap.
"Tempahan bilik hotel mula diterima sejak dua minggu lalu bagi Aidilfitri. Berbanding hari biasa tempahan bilik hotel sekitar 60 peratus.
"Setakat ini, hotel di kawasan Desaru Kota Tinggi menunjukkan sedikit peningkatan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Pengusaha inap desa, di Cabin Chalet Gunung Pulai, Kulai pula, kesemua chalet yang terletak di kawasan kaki gunung itu sudah habis ditempah untuk 1 Syawal nanti.
Pengerusi Sekawan Koop, Jamalludin Abdol Hamid, 54, berkata, chalet inap desa yang lebih luas membolehkan keluarga berkumpul antara faktor menjadi pilihan perantau untuk menginap di situ pada pagi raya.
"Kami sudah terima tempahan sejak dua bulan lalu untuk chalet yang didiami bersama keluarga pada Hari Raya. Kebanyakan yang menempah dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
"Kedudukan Kulai yang terletak dengan bandar raya Johor Bahru memudahkan perantau untuk ke pusat bandar selain dekat dengan kawasan kampung di sekitar Pontian," katanya.
Jelasnya, tempahan untuk hari raya ini memberi pulangan kepada penduduk Kampung Sri Gunung Pulai yang menguruskan chalet tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!