KKM perlu hentikan 'pengharaman pintu belakang' ke atas vape
SHAH ALAM - Pengharaman ke atas pembuatan dan pengimportan produk vape dan nikotin dilihat telah membantutkan langkah progresif kerajaan Malaysia ke arah mengawal selia industri berkenaan.
Berdasarkan semakan yang dibuat sebuah badan pemikir tempatan, Datametrics Research and Information Centre (DARE) terhadap Perintah Larangan Import 2023 Jabatan Kastam yang diwartakan baru-baru ini, perintah itu menyekat pemain industri tempatan daripada mengimport cecair vape yang mengandungi nikotin.
Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, ia turut menyekat pengimportan nikotin untuk mengeluarkan cecair vape melainkan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun telah dikecualikan daripada Akta Racun.
"Sememangnya ini adalah 'larangan pintu belakang' yang dirancang.
“Keseluruhan rantaian bekalan dan ekosistem runcit dalam industri vape akan terhenti dengan sekatan ini.
“Tanpa sebarang tindakan untuk menangani perkara ini dengan cepat dan jelas, pemain industri tidak akan dapat mengeluarkan dan mengimport produk secara sah, seterusnya menyebabkan industri vape kembali kepada status quo, iaitu terus beroperasi di bawah tanah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Pankaj, keadaan itu akan menyebabkan kerajaan terlepas peluang untuk mengutip hasil cukai eksais sehingga RM1 bilion setahun.
"Kerajaan tidak akan dapat mengutip hasil cukai dalam keadaan ini dan produk akan terus dijual tanpa sebarang cukai dan peraturan,” ujarnya.
Justeru, bagi menangani perkara ini, DARE menggesa KKM supaya membatalkan sekatan tersebut dengan segera memandangkan kerajaan telah pun mengecualikan cecair vape yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun.
Ujar beliau, KKM juga perlu mengambil langkah segera meminda undang-undang semasa dengan memperkenalkan peraturan untuk mengawal selia produk vape bagi memastikan produk yang dijual di pasaran selamat, terjamin dan berkualiti.
“Ini membolehkan kerajaan memperkenalkan kawalan, terutamanya ke atas produk vape bagi memastikan pengguna mempunyai akses kepada produk terkawal dan untuk mengelakkan produk jatuh ke tangan individu di bawah umur 18 tahun," jelas beliau.
Pankaj berkata, KKM harus mengambil langkah untuk menerima pengurangan bahaya tembakau dan melihat produk vape sebagai satu cara membantu mengurangkan kelaziman merokok di Malaysia seperti di negara lain yang menggunakan pendekatan sama ke arah masyarakat bebas asap rokok.
Jelasnya, Sweden bersedia menjadi negara 'Bebas Asap Rokok' pertama di Eropah kerana ia berada di landasan untuk melihat kadar kelaziman merokok menurun di bawah lima peratus.
“Dilaporkan bahawa kejayaan besar ini dicapai dengan mengamalkan strategi pengurangan bahaya tembakau yang menerima produk bebas asap seperti vape sebagai alternatif yang kurang berbahaya.
“Malaysia harus mengambil iktibar untuk menerima pengurangan bahaya tembakau. Contoh dari negara lain telah pun menunjukkan vape berpotensi untuk mengurangkan kelaziman merokok,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!