JPJ Kelantan guna dron pantau kesalahan pemandu
KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan mengaktifkan penggunaan dron bagi memantau dan merakam imej pengguna jalan raya.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, peralatan itu antara yang digunakan dalam operasi penguatkuasaan perayaan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menurut beliau, melalui slogan 'Pandu cermat, selamat sampai ke Destinasi', jabatan berkenaan memastikan pengurusan aktiviti penguatkuasaan operasi dilaksanakan dengan lebih efektif bagi mencapai sasaran pengurangan kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.
"Seramai 250 pegawai dan anggota JPJ terlibat dalam operasi di negeri ini bermula Selasa hingga 27 April depan," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, beberapa strategi dirancang untuk mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu rondaan di semua lokasi strategik melibatkan laluan utama negeri dan lebuh raya.
Selain itu katanya, anggota JPJ ditempatkan bersama polis di Gua Musang bagi membantu menyuraikan aliran trafik serta mengawal lalu lintas berikutan laluan utama ditutup sementara untuk kerja penambahbaikan jalan.
"Kita menjangkakan aliran trafik akan bertambah dan sesak di pintu masuk utama Kelantan kerana orang ramai akan mula pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"Justeru, pemantauan penuh terhadap bas ekspres dengan membuat pemeriksaan teknikal serta pemandunya supaya bebas daripada pengaruh dadah secara rawak di Mentara, Gua Musang," katanya.
Mohd Misuari turut memberitahu, anggota JPJ akan menyamar sebagai penumpang di dalam bas bagi memastikan pemandu sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
Jelasnya, kenderaan barangan dilarang berada di jalan raya utama pada 21, 24 dan 25 April depan.
"Kita juga akan bersama polis mengawal pergerakan konvoi bermotosikal yang pulang ke kampung bagi mengelakkan kemalangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!