KKM rakam penghargaan 35 tahun khidmat Dr Noor Hisham

Dr Zaliha (dua kiri) bergambar bersama Dr Noor Hisham selepas Meraikan majlis persaraan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Rabu. - Foto: FB Dr Zaliha
Dr Zaliha (dua kiri) bergambar bersama Dr Noor Hisham selepas Meraikan majlis persaraan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Rabu. - Foto: FB Dr Zaliha
A
A
A

KUALA LUMPUR- Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di atas khidmat bakti dan sumbangannya sepanjang 35 tahun berkhidmat di Kementerian Kesihatan (KKM).

Dr Zaliha berkata, dalam tempoh itu, Dr Noor Hisham mencatatkan banyak penglibatan dan pencapaian di dalam negara mahupun di peringkat global, yang dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina perkhidmatan kesihatan rakyat Malaysia agar setanding negara luar.

"Meraikan majlis persaraan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan. Majlis ini merupakan tanda penghargaan dan penghormatan di atas khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Tan Sri Dr Noor Hisham sepanjang perkhidmatan beliau di KKM.

"Saya percaya khidmat Tan Sri tidak terhenti di sini bahkan khidmatnya masih diperlukan untuk pembangunan perubatan dan kesihatan negara.

"Saya mewakili pihak KKM ingin mengucapkan selamat bersara dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Tan Sri Dr Noor Hisham di atas jasa, khidmat bakti dan sumbangan beliau sepanjang perkhidmatan di kementerian ini,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu

Dr Noor Hisham yang dianggap ‘panglima perang’ ketika negara berdepan pandemik Covid-19 akan bersara wajib pada Jumaat ini selepas lebih tiga dekad berkhidmat, dan beliau merupakan antara individu penting yang menyampaikan perkembangan terkini dan usaha kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 di negara ini.

Dr Noor Hisham juga pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1442H/2020M. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!