PBSL: Tak sangka dapat sambut raya dengan keluarga

Hasrul Anwar bersalaman dengan salah seorang penghuni yang mendapat pelepasan OBB pada Rabu.
Hasrul Anwar bersalaman dengan salah seorang penghuni yang mendapat pelepasan OBB pada Rabu.
A
A
A

JELEBU - Suasana di pekarangan Institusi Pemulihan Dadah Jelebu di sini sayu seketika sebaik 18 penghuninya dibebaskan dan memeluk ahli keluarga masing-masing.

Malah rata-rata individu yang ditemui tidak menyangka berpeluang menyambut Aidilfitri ini bersama keluarga selepas mendapat pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) bersempena Program Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) menerusi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) pada Rabu.

Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Din, 30, berkata, pengalaman menghuni tirai besi sangat menginsafkan dirinya malah berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

"Saya masuk penjara pada Disember tahun lepas disebabkan dadah, terpengaruh dengan kawan-kawan," katanya.

Senada dengan Din, seorang lagi individu yang memperoleh OBB dikenali sebagai Ramli, 38, mengakui mahu manfaatkan peluang berkenaan sebaiknya dengan keluarga pada hari raya ini.

Dalam pada itu, bapa kepada seorang penghuni berkenaan sebak sebaik berkongsi kegembiraan bertemu anak bongsunya yang dibebaskan pada program tersebut.

"Tiada apa yang saya hendak ucapkan melainkan terima kasih kepada pihak penjara yang menjaga anak saya sepanjang dia menjalani hukuman.

"Sebagai orang tua saya berharap anak saya tidak lagi mengulangi kesalahan sama seterusnya menjadi insan berguna kepada ibu bapa dan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Penolong Komisioner Penjara, Hasrul Anwar Hasim berkata, daripada 18 yang dibebaskan, enam penghuni telah mendapat jaminan daripada keluarga dengan penempatan kediaman keluarga sendiri.

"Baki 12 penghuni yang lain pula akan ditempatkan di Rumah Perantaraan Jabatan Penjara Malaysia dengan jaminan pekerjaan dalam sektor perindustrian, perkhidmatan dan pertanian.

"Jabatan penjara Malaysia sangat prihatin dan memberi peluang kepada penghuni penjara terutama sekali yang beragama Islam untuk sama-sama menyambut kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain itu, menerusi PBSL Institusi Pemulihan Dadah Jelebu juga telah membuat pelepasan seramai 403 OBB sepanjang tahun 2022 dan seramai 49 telah dilaksanakan pelepasan pada tahun 2023.

"Baki seramai 25 orang lagi dijadualkan mendapat pelepasan pada Syawal tahun ini. Diharapkan peluang yang diberikan ini akan dimanfaatkan oleh penghuni terpilih," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!