Jumlah kenderaan memasuki Terengganu bertambah
KUALA TERENGGANU - Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri kian terasa apabila perantau mula pulang kampung halaman bagi meraikan 1 Syawal bersama keluarga masing-masing.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu mendapati jumlah kenderaan di jalan raya semakin meningkat berbanding hari biasa susulan kepulangan perantau ke kampung.
Bagaimanapun, aliran trafik terutama di lokasi tumpuan ramai seperti Pasar Besar Kedai Payang didapati masih terkawal tanpa kesesakan teruk walaupun jumlah kenderaan semakin bertambah.
Seorang peniaga, Wan Suryana Ton Mohamad, 46, berkata, perjalanan dari rumah ibunya di Kuala Berang, Hulu Terengganu ke Kuala Terengganu untuk membeli barang sebagai persediaan Aidilfitri juga lancar.
"Bimbang juga kalau sesak tapi alhamdulillah semua ok. Walaupun kereta banyak tapi perjalanan lancar, cuma ada satu tempat sesak tapi sekejap saja," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Menurut Wan Suryana yang tinggal di Balakong, Selangor, situasi itu mungkin disebabkan masih ramai perantau belum pulang kerana komitmen kerja.
Jelas beliau, trafik mungkin akan sesak pada Khamis atau Jumaat kerana semakin ramai perantau pulang selain orang ramai mahu membeli barang keperluan memasak untuk pagi raya.
"Saya bersama suami dan dua anak sengaja pulang ke kampung lebih awal kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
"Kami bertolak jam 2.30 petang semalam, singgah beli keperluan hari raya di Kuantan, Pahang dan selamat tiba di Kuala Berang jam 1 pagi tadi.
"Memang kereta banyak di sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan hentian rawat dan rehat tapi perjalanan tetap lancar," katanya.
Kakitangan pentadbiran, Syahirah Suhaimi, 30, dari Permaisuri, Setiu pula berkata, dia selamat tiba di kampung pada jam 2 pagi Rabu selepas bertolak dari rumahnya di Wangsa Maju sekitar jam 9.30 malam.
Katanya, perjalanan pulang berhari raya bersama suami, Yahya Yusof, 34, dan dua adik kali ini lancar berbanding tahun sebelum yang memakan masa sehingga 12 jam akibat kesesakan jalan raya.
Menurut Elmy Maldiana Che Muda, 44, seorang suri rumah yang tinggal di Johor Bharu, dia pulang berhari raya di Permaisuri, Setiu kali ini dengan menaiki kapal terbang.
"Saya baru sampai di Kuala Terengganu jam 2.30 petang dan masuk ke bandar untuk beli barangan keperluan hari raya, nampak jalan agak sesak kerana banyak kereta tapi keadaan masih terkawal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!