Teras strategik Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2011-2020 disemak semula

Teresa Kok
Teresa Kok
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Industri Utama (MPI) akan menyemak semula Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2011-2020 yang diwujudkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi meningkatkan industri tersebut.

Menterinya, Teresa Kok Suh Sim berkata kajian semula itu akan diteliti berasaskan lima teras strategik iaitu penubuhan ladang buluh dan pengurusan sumber alam semula jadi yang mampan, sumber manusia dan pembangunan modal, pembangunan produk nilai tambah, penyelidikan dan pembangunan serta pemasaran, perdagangan dan promosi.

“Melalui dasar baharu, penggunaan buluh dapat dipelbagaikan seperti pemasangan di kawasan lantai, malahan ia mendapat sambutan positif daripada Amerika Syarikat (AS) dan Jepun bagi produk bakul, kayu penyepit, pencungkil gigi, lidi sate, buluh lemang dan layang-layang serta buluh juga berpotensi untuk dijadikan pelbagai perabot yang setanding dengan produk kayu.

“Dianggarkan terdapat 100 buah kilang buluh di seluruh Malaysia dan barangan yang dihasilkan telah dipasarkan dalam negeri dan juga dieksport,” katanya pada taklimat bersama media sempena sambutan satu tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Menurut Teresa, industri buluh di Malaysia mempunyai potensi yang amat baik untuk dimajukan jika sumber buluh yang disediakan berkekalan.

Selari dengan hasrat ini, Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) yang dijalankan oleh MTIB turut melibatkan penanaman lima spesis buluh yang diluluskan di bawah PPLH iaitu buluh betung, buluh semantan, buluh beting, buluh beti dan buluh hitam.

Di peringkat global, nilai eksport buluh berjumlah AS$68.8 bilion (AS$1 =RM 4.13), manakala nilai eksport buluh Malaysia lebih sedikit daripada RM102,000 tahun lepas (daripada RM300,000 dicatatkan pada 2017).

Manakala bagi sektor komoditi yang lain, beliau berkata lada, koko, kenaf dan tembakau adalah komoditi penting dan tumpuan diberi kepada pembangunannya.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, langkah-langkah diambil bagi tujuan pemantapan Institusi Lembaga Lada Malaysia (MPB) termasuklah mengukuhkan fungsi MPB dalam pembangunan industri lada dan pemasaran produk hiliran, terutamanya pengukuhan jenama Saraspice sebagai produk premium.

“Bagi meningkatkan keberkesanan pemasaran produk lada, MPB sedang menubuhkan anak syarikat bagi menjalankan aktiviti penghasilan pelbagai produk hiliran antaranya gula-gula, minyak wangi, sos berperisa, dan lain-lain,” ujarnya.

Bagi sektor koko, Teresa berkata, MPI akan meningkatkan sumbangan hiliran daripada industri koko Malaysia dengan mengenal pasti langkah-langkah strategik untuk merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab coklat di Asia.

Manakala bagi sektor kenaf, katanya, pemantapan institusi dan operasi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara akan diteruskan dan ini termasuk mengukuhkan keberkesanan kos operasi dengan melupuskan aset-aset yang tidak produktif dan menyewa kilang pemprosesan kepada pengusaha berpotensi untuk mempercepatkan pembangunan produk hiliran kenaf. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!