Pemilihan SSMZA penghargaan buat Terengganu - PBSNT

No Image Caption
A
A
A

TERENGGANU melakar sejarah tersendiri apabila Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak dekat Kuala Nerus terpilih menjadi gelanggang bagi dua perlawanan persahabatan Harimau Malaya pada Jun depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong berkata, pemilihan tersebut merupakan suatu penghormatan kepada PBSNT khususnya dan Terengganu amnya.

Justeru, beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menzahirkan setinggi penghargaan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dan jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan Gon atas keputusan tersebut.

"Skuad kebangsaan akan berdepan Solomon Island pada 15 Jun dan Yemen, 20 Jun. Harimau Malaya ketika ini menghuni ranking ke-138 dunia manakala Kepulauan Solomon, 134 dan Yemen, 157.

"Ini adalah sejarah manis buat Terengganu kerana Harimau Malaya akan beraksi untuk pertama kali di gelanggang kita," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sehubungan itu, Marzuki menyeru agar 40,000 penyokong bola sepak tempatan hadir memenuhi SSMZA bagi memberi sokongan kepada skuad negara.

Menurut beliau, rakyat Terengganu diketahui memiliki semangat kesukanan yang tinggi sehingga muncul sebagai antara kuasa sukan terbesar dalam negara.

"Saya harap penyokong dapat hadir SSMZA untuk menyaksikan sendiri perlawanan dan pemain Harimau Malaya beraksi depan mata. Tunjukkan semangat dan sokongan tidak berbelah-bahagi demi kemajuan bola sepak tanah air," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!