Kenderaan perantau mula masuk ke Kelantan

Keadaan laluan utama sekitar negeri ini yang berlaku pertambahan kenderaan.
Keadaan laluan utama sekitar negeri ini yang berlaku pertambahan kenderaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Laluan masuk ke Kelantan dari Pantai Timur dan Barat masih lancar walaupun terdapat pertambahan kenderaan perantau kira-kira 30 peratus yang mula memasuki negeri ini pada Rabu.

Tinjauan Sinar Harian dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu melalui Pasir Puteh bermula jam 5 pagi mendapati perantau mula pulang ke kampung halaman masing-masing.

Aliran trafik melibatkan perantau dari Kuala Lumpur yang menggunakan laluan di Gua Musang ke Pahi, Kuala Krai sehingga Machang seterusnya ke Kota Bharu juga masih lancar.

Sedikit kesesakan berlaku di bandar-bandar, namun melibatkan warga tempatan yang membuat persiapan akhir menjelang Syawal.

Seorang kontraktor, Nik Asmadi Kamil, 34, berkata, dia membuat persediaan awal dengan bertolak dari Bangi, Selangor untuk ke Kota Bharu pada jam 1.15 pagi Selasa.

“Saya nak elakkan kesesakan tetapi sangkut juga di tol Gombak selama dua jam dan empat jam sebelum terowong Genting Sempah kerana kerja-kerja turap jalan.

“Selepas itu, perjalanan lancar sehingga kami sekeluarga tiba di Berek 12 pada jam 1 petang selepas hampir 12 jam memandu,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurutnya, tempoh memandu tersebut ialah dua kali ganda daripada keadaan biasa dan pernah melalui perjalanan selama 20 jam untuk pulang berhari raya di kampung halaman pada tahun sebelum Covid-19.

Sementara itu, seorang lagi perantau juga pensyarah, Noor Anizan Ariffin,28, berkata, dia membuat persediaan mental dan fizikal untuk menempuh perjalanan lebih 500 kilometer ke Puncak Alam, Selangor pada petang Rabu.

“Saya bercadang untuk pulang ke kampung di Padang Kala, Melor selepas waktu bekerja jam 5 petang.

“Dijangka sesak tetapi sanggup menempuh perjalanan ini demi bersama ahli keluarga bagi menyambut Aidilfitri,” katanya.

Noor Anizan yang pernah menempuh perjalanan sehingga 23 jam dari Selangor ke Kota Bharu untuk menyambut hari raya menganggap pengalaman itu yang amat menyeronokkan walaupun keletihan hampir sehari semalam berada di dalam kereta.

“Apabila sampai ke destinasi dan berjumpa keluarga, semua penat hilang serta-merta ditambah dengan kemeriahan mereka menyambut kepulangan kami,” katanya.

Seorang lagi usahawan, Muhammad Ridhwan Roslan, 33, berkata, dia pulang dari Kuantan, Pahang ke Kota Bharu dengan berkonvoi dua kereta ahli keluarganya bermula jam 10 malam, Selasa.

“Saya bertolak pada waktu malam untuk mengelak cuaca panas dan pulang beramai-ramai bagi menghilangkan rasa mengantuk.

“Kami menikmati tol percuma seperti diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan tiba di rumah datuk pada jam 3 pagi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!