Dua pertiga rakyat setuju Malaysia berada di landasan tepat - Ipsos
KUALA LUMPUR - Dua pertiga rakyat Malaysia berpandangan bahawa negara berada di landasan yang tepat selepas lima bulan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Dalam tinjauan oleh Ipsos, badan kajian itu memberi tumpuan kepada sentimen masyarakat, terutamanya kebimbangan mereka tentang isu ekonomi dan politik semasa.
Tinjauan itu turut menunjukkan rakyat Malaysia kurang bimbang berhubung inflasi, menurun daripada 43 peratus responden yang menyatakan kebimbangan itu pada Januari 2023 kepada 36 peratus pada Mac 2023.
Malah, majoriti responden juga bersetuju bahawa mereka kini lebih selesa membuat perbelanjaan berbanding enam bulan lepas, sama ada dari segi barang keperluan isu rumah atau perbelanjaan besar.
Menurut tinjauan Ipsos, 47 peratus responden lebih selesa membuat perbelanjaan pada Mac lalu berbanding enam bulan lepas, menurun sedikit berbanding 56 peratus setakat Januari lalu.
“Seperti yang dilihat dalam pilihan raya umum di serata dunia, sentimen umum mencapai kemuncak pascaperubahan kerajaan sebelum menurun kepada norma baharu,” kata Pengarah Pengurusan Ipsos Malaysia Arun Menon, dan Pengurusan Penyelidikan Hal Ehwal Awam Ipsos Iris Ng.
Meskipun kerisauan tentang isu ekonomi semakin menurun, rakyat bagaimanapun dilihat semakin bimbang tentang isu rasuah politik atau kewangan.
Pada Januari 2023, 43 peratus responden menyatakan kebimbangan mereka berhubung isu rasuah yang meningkat kepada 51 peratus pada Mac lalu.
Angka itu bagaimanapun bukan jumlah tertinggi dalam tinjauan Ipsos, yang mencatatkan kebimbangan tentang rasuah pada tahap kemuncak pada September 2022.
Ipsos menjalankan tinjauan ke atas kebimbangan responden setiap bulan di 32 negara serata dunia, dengan sampel yang dikaji di Malaysia melibatkan seramai 500 responden. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!