Sederet rumah kedai lima pintu terbakar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PASIR PUTEH - Sederet rumah kedai lima pintu separa kekal di Chabang Tiga, Gaal, di sini, terbakar dalam kejadian pada jam 11.30 pagi Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh, Penolong Penguasa Azhar Elmi Mustofar berkata, kejadian itu melibatkan tiga bangunan iaitu satu rumah kedai tiga pintu, kilang roti dan kedai menjual santan kelapa.

"Kebakaran ini berjaya dikawal pada jam 12.21 tengah hari dan padam sepenuhnya 2.15 petang.

"Kedai runcit terbakar 100 peratus di mana 90 peratus daripada struktur kedai diperbuat daripada kayu manakala kilang roti hangus 30 peratus serta kedai santan pula terbakar 10 peratus, bahagian selebihnya berjaya diselamatkan oleh kami," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, api cepat merebak berikutan keadaan cuaca panas terik dan punca serta kerugian sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Azhar Elmi berkata, operasi tersebut melibatkan tiga Fire Rescue Tender (FRT), satu pam water tanker, satu RRV dengan enam pegawai dan 15 anggota.

Beliau berkata, sepasukan Bomba dan Penyelamat Jerteh, Terengganu juga turut sama membantu mengawal kebakaran rumah kedai berkenaan daripada merebak.

Sementara itu, seorang mangsa, Wan Mohd Shahrul Wan Ahmad, 40, iaitu pengusaha kedai runcit berkata, dia mengalami kerugian sekelip mata sebanyak RM150,000 dalam kebakaran itu.

"Kira-kira RM100,000 berupa barangan runcit dan selebihnya wang tunai yang dijadikan sebagai modal pusingan turut terbakar.

"Barangan runcit ini adalah stok jualan sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang mendapat permintaan tinggi," katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur apabila anak lelakinya Wan Rizhan Shah, 5, yang tertidur semasa kejadian turut terselamat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!