Siasatan ke atas Ustaz Wadi diteruskan pada 2 Mei - JAIPs

Ustaz Wadi Annuar
Ustaz Wadi Annuar
A
A
A

KANGAR - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) menjelaskan sesi siasatan terhadap pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub pada 17 April lalu telah ditangguhkan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal JAIPs, Najmuddin Abdul Karim berkata, pihak penama memohon penangguhan beberapa tarikh sesi siasatan berdasarkan alasan dikemukakan kepada mereka.

Menurutnya, JAIPs walaubagaimanapun menegaskan siasatan terhadap Ustaz Wadi Annuar akan tetap diteruskan pada 2 Mei depan berkenaan dakwaan memberi ceramah tanpa tauliah di negeri ini.

"JAIPs menerima beberapa pertanyaan daripada pihak media dan orang awam mengenai sesi siasatan terhadap Wadi Annuar Ayub yang dijadualkan pada 17 April lalu.

“Adalah dimaklumkan bahawa pihak penama sudah memohon penangguhan beberapa tarikh sesi siasatan berdasarkan alasan dikemukakan kepada pihak JAIPs,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Najmuddin, penama tersebut perlu mematuhi arahan untuk hadir pada tarikh baharu yang telah ditetapkan dan jika gagal hadir, tindakan undang-undang akan diambil.

"Siasatan terhadap akan diteruskan pada 2 Mei ini dan tindakan undang-undang termasuk pelaksanaan waran tangkap akan diambil sekiranya arahan ini tidak dipatuhi,” ujar beliau lagi.

Pada 1 April lalu, Sinar Harian melaporkan JAIPs akan memanggil pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub kerana didakwa mengajar tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pendakwah itu didakwa mengajar tanpa tauliah di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang dekat sini dan perlu hadir untuk diambil keterangan di Pejabat JAIPs pada 17 April.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!