Sabah langgar habis Kelantan di Likas
SABAH FC kembali mempamerkan watak sebenar The Rhinos apabila membelasah pasukan bawahan Kelantan FC, 6-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas pada Rabu.
Kemenangan yang sememangnya amat diharapkan pengendali, Datuk Ong Kim Swee itu boleh disifatkan kesinambungan dari momentum ketika menewaskan Kelantan United 2-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala FA di venue sama pada 15 April lalu.
Kemenangan luar biasa ke atas anak buah Frank Bernhardt menyaksikan Sabah merekodkan kemenangan keempat berturut-turut di laman sendiri.
The Rhinos memulakan pesta gol apabila mendahului separuh masa pertama menerusi pemain tengahnya, Daniel Ting yang meledak dua gol masing-masing pada minit ketiga dan ke-10.
Separuh masa kedua, The Rhinos tampak lebih bernafsu apabila melanyak The Red Warriors (TRW) dengan empat gol lagi.
Namun TRW berusaha kembali dalam permainan sebelum itu melalui gol Miguel Angel Garrido Cifuentes pada minit ke-46.
Kedudukan itu tidak kekal lama apabila pemain pertahanan tuan rumah, Dominic Tan melebarkan jaringan pada minit ke-47.
Kapten Rhinos, Baddrol Bakhtiar turut mengukir nama sebagai penjaring apabila meledak gol keempat pada minit ke-60.
Stuart Wilkin juga tidak melepaskan peluang apabila turut mencetak nama sebagai penjaring dengan gol minit ke-75.
Telmo Castanheira akhirnya melengkapkan malam derita TRW dengan gol minit ke-91 untuk kemenangan 6-1.
Kemenangan kelima selepas mengharungi sembilan perlawanan itu membolehkan Sabah mengumpul 17 mata kekalahan Kelantan di Likas merupakan yang ketujuh selepas sembilan perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!