Polis berkas peragut di Jalan Masjid India
KUALA LUMPUR - Polis memberkas seorang lelaki yang melakukan jenayah ragut di belakang sebuah restoran di Jalan Masjid India di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam itu, suspek berusia lingkungan 20-an yang menunggang sebuah motosikal cuba meragut rantai leher seorang lelaki di lokasi kejadian.
Mangsa yang sedang merokok ketika itu bagaimanapun sempat mengelak menyebabkan rantai emas tersebut terjatuh.
Pemangku Ketua Polis Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, suspek kemudian terus memecut motosikalnya sebelum abang ipar mangsa yang berada di lokasi mengejar dan meminta bantuan anggota polis yang sedang membuat rondaan di hadapan Bangunan Cap Square, Alliance Bank.
"Semasa kejadian, suspek dikatakan turut bertindak melanggar mangsa sehingga motosikalnya terbabas sendiri.
"Suspek berjaya ditahan dan mangsa berusia lingkungan 30-an itu mengalami kecederaan luka di bahagian kaki, tangan dan kepala di sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu, polis telah merampas motosikal ditunggang suspek, topi keledar, kunci motosikal beserta cukai jalan, telefon bimbit, alat penimbang, walkie talkie, dan pisau boleh laras serta beberapa barangan lain yang disyaki digunakan untuk kegiatan curi motosikal.
Katanya, semakan lanjut motosikal yang dinaiki suspek itu adalah motosikal curi.
"Suspek yang mempunyai dua rekod lampau iaitu kes dadah dan samun ini akan disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!