Bila seorang buat, orang lain pun ikut
SHAH ALAM - Sikap suka menunjuk selain cuba mencari keseronokan bersama rakan-rakan antara faktor trend modifikasi ‘gila-gila’ melibatkan motosikal kapcai terutama menjelang Aidilfitri.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, pemilik-pemilik motosikal yang melakukan modifikasi ini akan berkumpul sesama mereka terutamanya apabila lebaran.
“Modifikasi motosikal ini diibaratkan sebagai satu trend yang menjadi ikutan, bila ada seorang dari mereka yang buat modifikasi maka yang lain akan cuba nak ikut.
“Sedangkan ia merupakan satu tindakan berbahaya, bukan sekadar berisiko kepada pemilik motosikal tersebut malahan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Katanya lagi, terdapat beberapa modifikasi yang dikesan menjadi trend sejak akhir-akhir ini.
“Antaranya tukar tayar asal kepada tayar lebih nipis seperti tayar sotong, ubah suai ekzos, ubah suai enjin dan sebagainya.
“Penggemar modifikasi sebegini sekiranya ditanya mereka kebanyakan memberikan pelbagai alasan kononnya ingin menjadikan motosikal lebih menarik dan laju sedangkan ia melibatkan soal keselamatan penunggang itu sendiri,” ujarnya.
Menurutnya, pengubahsuaian motosikal secara keterlaluan akan menjejaskan faktor keselamatan yang ditetapkan pengilang.
“Spesifikasi asal telah berubah apabila pengubahsuaian dibuat sedangkan spesifikasi asal ditetapkan pengilang ambil kira faktor-faktor keselamatan penggunaan motosikal tersebut.
“Kadangkala alasan yang diberikan pemilik terutama melibatkan enjin atau ECU kononnya mahu lebih laju sedangkan kita tahu sebenarnya ia mahu digunakan untuk berlumba,” katanya.
Tambahnya, operasi motosikal sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 telah mengeluarkan notis sebanyak 2,459.
“Jumlah kesalahan yang dikesan sepanjang Ops HRA 2022 melibatkan penunggang motosikal ialah sebanyak 2,647 dan melibatkan sitaan sebanyak 53 motosikal.
“Antara kesalahan direkodkan melibatkan ubah suai kenderaan, tayar, nombor pendaftaran, lesen kenderaan tamat tempoh, tiada lesen memandu dan pelbagai kesalahan lain,” katanya.
Jelas beliau, antara motosikal yang sering diubahsuai ialah Honda Ex5, Yamaha Y15, Yamaha 125 serta Modenas Kriss.
“Kita tidak tolak kemungkinan semua motosikal yang terlibat dengan kegiatan lumba haram adalah motosikal yang telah dimodifikasi,” katanya.
Ujar Khairul Khar, peringkat umur yang dikesan banyak terlibat dalam modifikasi motosikal terdiri dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun.
“Malahan ada dalam kalangan peringkat umur sebegini sanggup berhabis antara RM1,000 hingga RM5,000 untuk melakukan pengubahsuaian,” katanya.
Ujarnya lagi, statistik kemalangan motosikal pada tahun lalu merekodkan sebanyak 4,101 atau 67 peratus tertinggi berbanding kenderaan lain.
Jelas beliau, soal keselamatan adalah paling utama yang menjadi aspirasi pihak JPJ dalam memastikan penunggang dalam negara ini sentiasa selamat di jalan raya dan masa sama mematuhi undang-undang sedia ada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!