Debaran 1 Syawal terjawab hari ini
SUDAH semestinya ramai menantikan pengumuman rasmi tarikh 1 Syawal bagi sambutan Aidilfitri yang akan dibuat pada hari ini di semua saluran rasmi.
Pengumuman daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja itu bakal menjawab segala spekulasi selama ini mengenai tarikh 1 Syawal sama ada disambut pada 21 April (Jumaat) atau 22 April (Sabtu).
Sebelum ini kecoh di media sosial kononnya menyatakan Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, 21 April sedangkan kalau mengikut perkiraan kalendar asal adalah pada hari Sabtu, 22 April.
Spekulasi itu diperkuatkan lagi menerusi kenyataan daripada Pusat Astronomi Antarabangsa (IAC) yang berpangkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) yang mengumumkan negara-negara Islam akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal bulan Syawal pada 20 April berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan.
Menurut portal Gulf News, bagaimanapun beberapa negara di Asia termasuk Australia mungkin tidak dapat melihat keadaan anak bulan Syawal dengan mata kasar mahupun menggunakan teleskop khas.
Jelas portal tersebut lagi, namun begitu, beberapa negara Islam lain berkemungkinan dapat menyaksikan anak bulan pada tarikh tersebut.
Kebanyakan negara Islam mungkin mengumumkan permulaan 1 Syawal pada keesokan harinya yang akan menjadikan hari Jumaat, 21 April sebagai hari pertama Aidilfitri.
Desas desus sedemikian sudah tentu menimbulkan detik mencemaskan bagi orang ramai yang pernah mengalami raya mengejut sebelum ini.
Ini kerana rata-rata masyarakat belum sempat membuat persiapan bagi menyambut hari raya pada tahun lepas sekali gus meningalkan kesan mendalam kepada mereka yang kelam kabut menyiapkan persediaan di saat-saat akhir termasuk membeli santan dan memasak rendang.
Namun begitu pengalaman sebelum ini sudah pasti memberi peringatan kepada orang ramai untuk membuat persediaan awal bagi mengelakkan kejadian panik berulang semula sekiranya sekali lagi berlaku raya mengejut pada tahun ini.
Oleh itu, pengisytiharan tarikh 1 Syawal bakal diumumkan pada hari ini oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja Melayu.
Justeru, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi akan dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Apa pun pengumuman pada hari ini sama ada raya jatuh pada Jumaat atau Sabtu perlu dihomati dan diterima dengan hati lapang serta terbuka.
Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Aidilfitri serta terpengaruh dengan penetapan keputusan tarikh hari raya negara luar.
Tidak kira hari raya jatuh esok atau lusa namun paling penting sekali adalah kita dapat merayakan Syawal dengan penuh makna bersama dengan keluarga tersayang selepas sebulan penuh berpuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!