Amaran ribut petir, hujan lebat di 12 negeri
SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di 12 negeri sehingga jam 10 pagi Khamis.
MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 6.15 pagi memaklumkan, kejadian itu dijangka berlaku di Kedah iaitu di Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu, Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim).
Menurutnya, amaran tersebut juga melibatkan kawasan di Kelantan (Gua Musang), Pahang (Tanah Tinggi Cameron dan Lipis), Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin).
Dalam pada itu, turut dijangka berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang adalah di Melaka, Johor melibatkan kawasan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru), manakala Sarawak di Samarahan (Simunjan) serta Sri Aman (Sri Aman).
Jelas MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!