Jemaah digalak pakai pelitup muka ketika solat Aidilfitri

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di masjid dan surau seluruh negeri Kedah digalakkan memakai pelitup muka berikutan terdapat peningkatan penularan kes Covid-19 di negeri ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Abd Ghani@Zulkifli Zainudin berkata, arahan itu dikeluarkan selaras dengan saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar semua pihak mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan penularan virus Covid-19 dapat dikawal dan dicegah.

Katanya, dengan mengambil kira situasi terkini di samping akan berlaku peningkatan kontak sosial antara individu di mana umat Islam seluruh pelusuk negara akan pulang ke kampung dari pelbagai lokasi dan tempat, maka sewajarnya keadaan ini dipandang serius oleh semua pihak.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar prihatin dan mengambil langkah sewajarya bagi membasmi wabak penyakit ketika menyambut hari raya dan penganjuran rumah terbuka," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, semoga usaha ini dapat membantu pihak kerajaan dalam membanteras wabak serta menamatkan rantaian virus Covid-19 dari merebak.

"Mudah-mudahan seluruh umat Islam di Malaysia amnya dan di negeri Kedah khususnya dipelihara oleh Allah SWT daripada musibah dandapat meraikan Aidilfitri tahun ini dengan penuh ketaqwaan, sejahtera serta aman damai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!