Jualan daging mantai dalam talian meningkat sekali ganda
JELEBU - Jualan daging mantai di Negeri Sembilan secara dalam talian menerusi aplikasi Agrobazar Online menyaksikan peningkatan sekali ganda berbanding ketika ia mula diperkenalkan tahun lalu.
Exco Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, pada tahun lalu pembelian dalam talian menerusi aplikasi itu hanya 160 kilogram daging lembu yang berjaya dijual.
"Bagaimanapun berlaku sebaliknya pada tahun ini apabila sebanyak 393 kilogram berjaya dijual yang mana dua daerah iaitu Rembau dan Seremban merekodkan jualan tertinggi masing-masing 184 kilogram dan 169 kilogram.
"Jualan keseluruhan daging mantai secara dalam talian berjumlah RM14,617 dan sembilan penternak mengambil bahagian menjual daging secara dalam talian ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai meninjau sekitar lokasi Program Mantai Aidilfitri dan Jualan Ladang Negeri Sembilan Prihatin di Dewan D'Sury Kuala Klawang di sini pada Khamis.
Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang tidak menolak bahawa dalam kalangan masyarakat hari ini ada yang lebih selesa membuat pembelian secara dalam talian.
"Tahun ini ia menjadi pilihan kepada mereka biarpun kaedah itu kurang mendapat sambutan pada tahun lalu. Ia berikutan orang ramai yang sudah membuat tempahan hanya perlu mengambil daging itu di kawasan yang ditetapkan.
"Selain mengurangkan kesesakan di lokasi mantai secara fizikal, kaedah ini juga antara cara mengurangkan jangkitan risiko Covid-19 yang masih berlaku ketika ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!