Yakin kerajaan terus sokong syarikat bumiputera tersenarai awam

Abu Hanifah berucap pada majlis penyerahan zakat perniagaan di Wisma PPZ. - Foto PPZ
Abu Hanifah berucap pada majlis penyerahan zakat perniagaan di Wisma PPZ. - Foto PPZ
A
A
A

SHAH ALAM - Datasonic Group Bhd menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM2 juta kepada Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun 2022.

Pengerusi Eksekutif Datasonic, Datuk Hanifah Noordin berkata, sama ada syarikat itu dapat mengekalkan atau meningkatkan nilai zakat pada tahun hadapan, terpulang kepada perkembangan perniagaan.

“Sebagai syarikat bumiputera yang berkeupayaan tinggi, kami dilibatkan dalam banyak projek kerajaan khususnya bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan setiap perdana menteri membantu menambah kepada perniagaan kita.

“Kami mula terlibat dalam projek MyKad sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

"Penglibatan kami di KDN telah bertambah dari semasa ke semasa demi keazaman untuk menjadi peneraju dalam bidang percetakan keselamatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa, Hanifah mewakili Datasonic menyerahkan zakat perniagaan kepada PPZ-MAIWP yang diwakili pengerusinya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman untuk diagihkan kepada golongan asnaf serta penerima zakat lain yang diiktiraf.

Abdul Aziz (tengah) menyaksikan penyerahan bayaran zakat oleh Abu Hanifah (kiri) kepada Pengurus Besar Operasi Luar PPZ, Fahmi Ismail (kanan) pada majlis serahan zakat Datasonic di Ibu Pejabat PPZ MAWIP. - Foto PPZ
Abdul Aziz (tengah) menyaksikan penyerahan bayaran zakat oleh Abu Hanifah (kiri) kepada Pengurus Besar Operasi Luar PPZ, Fahmi Ismail (kanan) pada majlis serahan zakat Datasonic di Ibu Pejabat PPZ MAWIP. - Foto PPZ

Sementara itu, menurut Hanifah, syarikat tersebut telah memenangi tender demi tender atas kebolehannya sehingga dianggap sebagai rakan KDN.

“Kami juga terlibat dalam projek pasport yang memenangi anugerah antarabangsa dan projek autogate yang mempunyai mesin pengimbas muka setanding jenama antarabangsa tersohor.

“Datuk Seri Najib Tun Razak pula telah membantu kami untuk disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia di bawah Skim Jejak Jaya ke-Bursa (SJJB), manakala di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kami dilibatkan pula dalam projek i-Kad untuk pekerja asing.

“Semua projek ini dilaksanakan mengikut jadual dan berjaya, dengan Datasonic membuat pelaburan besar sebanyak RM350 juta demi memastikan dokumen kerajaan selamat, kukuh dan tersedia tepat waktu.

“Oleh itu, kami yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar akan terus menyokong kami sebagai syarikat bumiputera tersenarai awam yang berwibawa,” jelasnya.

Hanifah memberitahu, selaras dengan aspirasi untuk menjadi yang terbaik dalam industri, pihaknya juga amat menitikberatkan hal-hal berkaitan kebajikan, sama ada kepada warga kerja, masyarakat dan juga alam sekitar.

Tambahnya, pelbagai inisiatif program tanggungjawab korporat (CSR) telah dilaksanakan Datasonic untuk manfaat masyarakat di luar sana termasuk warga kerjanya.

"Bagi pihak Datasonic, kami amat berharap semoga dengan pengagihan zakat ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!