Boleh kritik, asalkan pelajari tentang minyak sawit

Kenyataan Teresa sebelum ini mengenai minyak sawit pernah menjadi kontroversi baru-baru ini. – Foto internet
Kenyataan Teresa sebelum ini mengenai minyak sawit pernah menjadi kontroversi baru-baru ini. – Foto internet
A
A
A

KUALA LUMPUR – “Tidak selalu kita menemui pihak berkuasa atau penggubal undang-undang menjadi bahan ejekan disebabkan kelebihan mereka,” ujar Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Dalam temu bual baru-baru ini dengan media sempena sambutan satu tahun beliau dalam kerajaan, menteri itu mendapati lucu apabila netizen mengkritik beliau.

“Saya tahu netizen mengejek saya mengenai kenyataan saya makan satu sudu minyak sawit merah untuk kekal muda,” katanya, sambil menambah bahawa nasihat itu sebenarnya diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 94 tahun.

“Bagaimanapun, saya tidak kisah dengan orang yang mengejek saya, yang paling penting ialah mereka belajar mengenai minyak sawit dalam proses itu,” katanya.

Malah, semua komen sinis dan kritikan itu sebenarnya menarik perhatian orang ramai kepada minyak sawit dan isu yang berkaitan.

“Dua hari lepas ahli Parlimen pembangkang bertanya kepada saya mengenai minyak sawit merah dan saya mendapati bahawa ia turut dibincangkan di DUN Perak. Ini yang saya mahukan, lebih ramai orang mengetahui mengenai minyak sawit dan manfaatnya dari segi kesihatan,” katanya dalam temu bual yang berlangsung hampir sejam.

Malah, Teresa mengakui, hanya dalam tempoh 10 bulan lepas beliau benar-benar mengetahui mengenai minyak sawit dan manfaatnya.

“Pada 10 bulan lepas, saya kurang berminat dengan minyak sawit dan saya tidak tahu mengenai semua nilai dan manfaat daripada tanaman ini. Malah, saya secara terbuka telah menyatakan dalam satu forum bahawa saya sebelum ini menggoreng ikan menggunakan minyak zaitun dan orang ketawakan saya.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi hari ini, saya mengetahui semua manfaat daripada tanaman serba boleh ini dan saya menggesa semua ahli masyarakat kita untuk meningkatkan pengetahuan mengenai produk kita supaya sebagai masyarakat, kita dapat sama-sama mempromosikan minyak sawit kita,” kata Teresa yang bersemangat apabila bercakap mengenai industri itu.

“Bayangkan apabila pergi ke Jepun dan memberitahu kepada rakyat Jepun untuk tidak memakan wasabi atau pergi ke Korea dan memberitahu mereka ginseng tidak baik...mereka (rakyat Jepun dan Korea) akan memberi tindak balas kepada anda dan menyenaraikan semua manfaat produk mereka, kerana mereka tahu mengenai produk mereka dengan baik.

“Tetapi di sini di Malaysia, malah doktor kita menyatakan perkara negatif mengenai minyak sawit, dan itu sebabnya kita perlu kempen ‘Sayangi Sawit’,” katanya, sambil menambah rakyat Malaysia perlu menyokong dan melindungi tanaman emas negara itu.

Teresa yang enggan menilai dirinya walaupun diminta oleh media, berkata, “Ia adalah anda, rakyat Malaysia dan industri yang perlu menilai saya.” – Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!