Aidilfitri: JPJ tumpu Op Motosikal Khas seluruh negara
KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menumpukan lebih perhatian terhadap pelaksanaan Op Motosikal Khas di seluruh negara pada musim perayaan Aidilfitri ini bagi mengurangkan kadar kemalangan maut melibatkan kenderaan itu.
Timbalan Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramly berkata, berdasarkan statistik Op Selamat 2019 dan Op Selamat 2022, kemalangan maut melibatkan penunggang serta pembonceng motosikal masing-masing mencatatkan sebanyak 69 dan 65 peratus.
Beliau berkata, JPJ melihat tren kemalangan maut melibatkan motosikal amat membimbangkan kerajaan.
"Jadi, kami akan tumpukan Op Motosikal Khas ini ke seluruh negara dan JPJ telah menggerakkan anggota penguat kuasa di seluruh negara di mana kita akan tumpukan pada pemeriksaan motosikal sepanjang kempen di musim perayaan ini.
"Antara jenis kesalahan yang akan menjadi fokus JPJ ialah berkait kesalahan pelesenan pemandu, pelesenan kenderaan dan kesalahan teknikal lain seperti pengubahsuaian motosikal,” katanya selepas meninjau operasi itu di Plaza Tol Sentul Pasar di sini malam ini.
Operasi itu, yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan polis, menyaksikan sebanyak 409 notis dikeluarkan manakala 18 motosikal disita.
Selain itu, seramai 15 warga asing ditahan oleh Jabatan Imigresen kerana tidak memiliki dokumen yang sah dan tiga individu ditahan AADK kerana positif ujian saringan dadah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!