Trafik di lebuh raya masih perlahan, namun semakin lancar

Aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan arah ke arah utara, trafik bergerak perlahan dan semakin baik di beberapa kawasan seperti dari Slim River ke Sungkai, Tapah ke Gopeng dan dari Terowong Menora ke Kuala Kangsar. - Foto: Bernama
Aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan arah ke arah utara, trafik bergerak perlahan dan semakin baik di beberapa kawasan seperti dari Slim River ke Sungkai, Tapah ke Gopeng dan dari Terowong Menora ke Kuala Kangsar. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran trafik di lebuh raya utama seluruh negara masih bergerak perlahan susulan orang ramai mula ‘balik kampung’ sempena Aidilfitri yang bakal disambut lusa, namun keadaan semakin baik dan tiada kesesakan luar biasa dilaporkan setakat jam 10 malam ini.

Bagi perjalanan ke arah timur, menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), trafik perlahan dari Plaza Tol Gombak ke Bentong dan sebelum masuk Plaza Tol Karak, bagaimanapun di susur keluar Plaza Tol Kuala Terengganu di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 yang dilaporkan sesak petang tadi sudah kembali lancar.

Bagi perjalanan ke arah utara, trafik bergerak perlahan dan semakin baik di beberapa kawasan seperti dari Slim River ke Sungkai, Tapah ke Gopeng dan dari Terowong Menora ke Kuala Kangsar.

PLUS menerusi ciapan di akaun Twitter turut memaklumkan berlaku kemalangan di kilometer (KM) 445 dari Rawang Selatan ke Rawang dan KM 296.7 dari Tapah ke Gopeng namun tiada lorong terhalang serta trafik terkawal.

Ke arah selatan, trafik di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di sekitar Senawang dan Pedas Linggi juga dilaporkan bergerak perlahan, berkemungkinan disebabkan kemalangan.

"LLM belum mendapat sebarang maklumat daripada syarikat konsensi mengenai kemalangan itu namun kesesakan yang dilaporkan hanya pendek sahaja,” menurut jurucakap berkenaan ketika dihubungi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!