Kerajaan teliti mekanisme tangani tiket mahal ke Sabah, Sarawak

Anthony (tengah) bergambar bersama penumpang pesawat KUL-TWU AK9746 ke Tawau ketika membuat tinjauan di KLIA Terminal 2 pada Khamis. - Foto Bernama
Anthony (tengah) bergambar bersama penumpang pesawat KUL-TWU AK9746 ke Tawau ketika membuat tinjauan di KLIA Terminal 2 pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Kementerian Pengangkutan sedang meneliti mekanisme bagi mengatasi masalah harga tiket penerbangan mahal menjelang semua musim perayaan terutama bagi laluan ke Sabah dan Sarawak.

Menteri berkenaan, Anthony Loke berkata, beliau telah diberi mandat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat kabinet yang lepas untuk mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu.

"Pihak kementerian juga cari jalan dan inisiatif menyelesaikan masalah ini bukan sahaja untuk sambutan Hari Raya malah perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai.

"Malah hampir dua bulan lalu pelbagai perancangan dan perbincangan telah dibuat umpamanya tambah kuota tiket sejak Mac lepas bagi mengatasi masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 malam ini.

Beliau berkata, pihak kementerian sedang merangka inisiatif bagi membantu pelajar yang ingin pulang bukan sahaja semasa musim perayaan tetapi juga cuti semester.

Kumpulan sasaran bagi inisiatif itu ialah pelajar di institut pengajian tinggi awam dan mereka akan dikenal pasti menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.

"(Mekanisme) ini juga sedang kita perincikan tetapi yang utama, kita sudah mengenal pasti dan dapatkan data pelajar dari Sabah serta Sarawak yang menuntut di Semenanjung.

"Begitu juga pelajar Semenanjung yang menuntut di dua negeri itu. Kumpulan ini ada lebih 50,000 orang dan kita sudah sasarkan mereka ini bakal dibantu,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!