Syawal untuk dirai, bukannya ditangisi

Musim perayaan amat berisiko berlakunya kemalangan berikutan jumlah aliran trafik yang bertambah berbanding hari-hari biasa. - Foto Bernama
Musim perayaan amat berisiko berlakunya kemalangan berikutan jumlah aliran trafik yang bertambah berbanding hari-hari biasa. - Foto Bernama
A
A
A

SEJAK Selasa, trending di laman sosial, dada akhbar mahupun televisyen laporan mengenai kesesakan di lebuh raya utama seluruh negara berikutan misi jutaan rakyat Malaysia pulang ke kampung bagi menyambut 1 Syawal.

Di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ribuan kenderaan tersangkut dan tidak bergerak sejauh 11.6 kilometer yang berlaku seawal pagi kerana kerja-kerja penyelenggaraan penurapan jalan di LPT arah Pantai Timur itu.

Situasi itu mencetuskan kemarahan pengguna lebuh raya yang menyifatkan kerja-kerja penyelenggaraan tidak seharusnya dilakukan menjelang musim perayaan kerana jalan akan sesak.

Bagaimanapun, di sebalik keterujaan anak-anak perantau pulang ke kampung untuk berhari raya tidak seharusnya mempengaruhi emosi dan tindakan sepanjang pemanduan yang menjangkau ratusan kilometer itu.

Mengikut Laporan Statistik Kemalangan Jalan Raya 2020 oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, sebanyak 4,634 kematian disebabkan oleh kemalangan jalan raya pada tahun itu manakala sejumlah 862 kematian berlaku semasa musim perayaan.

Sementara itu, sebanyak 1,445 kemalangan membabitkan 1,724 kenderaan direkodkan pada hari kelima Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina di seluruh negara pada Januari lalu.

Ia menunjukkan musim perayaan amat berisiko berlakunya kemalangan berikutan jumlah aliran trafik yang bertambah berbanding hari-hari biasa. Malah, masing-masing ‘kalut’ untuk sampai ke destinasi dengan cepat hingga lupa pada undang-undang jalan raya yang wajib dipatuhi.

Lebih merisaukan, ada dalam kalangan pemandu tetap meneruskan perjalanan mereka walaupun keletihan selepas seharian bekerja di pejabat. Situasi itu mampu membuatkan pemandu akan terlelap seketika ketika memandu atau micro sleep.

Keadaan itu berlaku dalam tempoh singkat dengan jangka masa antara satu hingga lima saat tetapi boleh menyebabkan kemalangan jika seseorang itu sedang memandu.

Diharapkan kepada anda yang ingin pulang beraya di kampung itu, janganlah ambil mudah soal keletihan badan dan mental yang dibawa ketika memandu.

Aidilfitri sepatutnya menjadi momen paling istimewa dan gembira buat semua orang, bukannya menjadi hari yang menyedihkan dek kerana hilangnya insan tersayang akibat nahas di jalan raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!