Raya dengan tenang, tak kalut
SHAH ALAM - Susulan pengumuman raya yang dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, orang ramai menarik nafas lega apabila tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada Sabtu, 22 April 2023.
Berbeza pada tahun lalu, rakyat Malaysia terkejut dan kelam-kabut untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas mendengar pengumuman raya.
Mereka yang masih di tempat kerja terus pulang ke rumah masing-masing, ada juga yang menyerbu pasar basah untuk mencari daging atau ayam untuk juadah raya.
Malah ada sebahagian rakyat Malaysia yang sedang memandu pulang ke kampung, ada juga yang tengah solat tarawih, yang lain pula sedang sibuk membeli-belah di saat-saat akhir
Namun, pada tahun ini penganut Muslim di Malaysia berada dalam keadaan tenang dan 'tidak kalut'.
Sebelum ini, terdapat spekulasi mengenai tarikh hari raya sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga maya berhubung situasi raya mengejut yang mungkin berulang sebagaimana berlaku pada tahun lalu.
Tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada hari ini.
Bagaimanapun, perkara tersebut mendapat perhatian pendakwah dan penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus.
Beliau membidas tindakan netizen yang ‘masuk campur’ dalam urusan penetapan hari raya sehingga bertindak seolah-olah seperti mufti.
Menerusi perkongsian video berdurasi 7 minit 59 saat di laman YouTube rasminya, Azhar menjelaskan, penentuan kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab).
"Raya ini dengan nampak anak bulan bukan buat kalendar awal-awal. Mazhab-mazhab fiqh yang empat iaitu Mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki kena ikut rukyah, kena tengok anak bulan sama ada ke tidak.
"Agama ikut kamu atau kamu ikut agama. Kalau nak ikut agama hendaklah kamu tengok pada 29 Ramadan. Kalau 29 Ramadan itu nampak anak bulan, esok tak ada 30 Ramadan, sudah 1 Syawal jadi raya mengejut,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi kenyataan menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya di negara ini.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dilaporkan berkata, proses berkenaan dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berautoriti.
Katanya, Malaysia menggunakan kaedah rukyah dan hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Aidilfitri dan Aidiladha selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak serta astronomi yang dipersetujui semua negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!