Berapa nak bagi duit raya pada tahun ini?
KELMARIN Merak Jalanan sempat minum kopi dan menjamah colek bersama tiga rakan di sebuah restoran di Shah Alam selepas solat tarawih.
Dalam perbualan kami empat orang itu, semuanya berkisar tentang Aidilfitri seperti pulang ke kampung isteri, berapa helai persalinan raya dan berapa kos keseluruhan persiapan raya.
Tentulah dalam perbualan itu ada terselit tentang keluh resah kerana raya tahun ini masing-masing tidak berduit lagi. Maklumlah kami semua pekerja swasta, gaji masuk lambat lagi.
Lainlah seperti raya mengejut tahun lalu. Masing-masing macam orang kaya baharu, dapat duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Tahun ini pula terkena dengan tarikh awal persekolahan dan hari raya pula jatuh sebelum tarikh terima gaji. Lainlah kalau kakitangan kerajaan, dapat gaji awal. Untung-untung.
Jadi jenuh juga menapis segala keperluan yang tidak mendesak. Cukup sahaja sepasang baju untuk setiap ahli keluarga ditambah dengan bajet perjalanan menuju ke kampung halaman.
Cuma yang memeningkan sedikit kepala kata kawan Merak Jalanan adalah peruntukan yang relevan untuk memberikan duit raya kepada anak buah di kampung halaman.
Adakah RM1 dan RM2 sudah memadai? Atau adakah zaman kini orang lebih memandang nilai RM5 atau RM10?
Kawan Merak Jalanan kata, kalau beri sedikit, apa pula kata saudara-mara? Tahun lalu boleh bagi RM10, tak akan tahun ini beri RM2. Mana nak letak muka atau lebih baik tidak beri langsung?
Bagi Merak Jalanan mudah, biarlah kita mengukur baju di badan sendiri. Mengikut kemampuan supaya kita tidak menyesal di kemudian hari.
Merak Jalanan percaya dalam situasi ekonomi mendesak sekarang ini, ramai yang akan memahami, tambahan pula semuanya berada dalam situasi yang sama hari ini.
Akhir kata, Merak Jalanan ucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!