Dua lori disita ingkar larangan waktu operasi

Lokman (tengah) melihat keadaan lori yang ditahan semasa Operasi Khas HRA 2023 di Koridor Banting-Klang pada Khamis. - Foto JPJ Selangor
Lokman (tengah) melihat keadaan lori yang ditahan semasa Operasi Khas HRA 2023 di Koridor Banting-Klang pada Khamis. - Foto JPJ Selangor
A
A
A

BANTING - Dua buah lori jenis tipper dumper disita di Koridor Banting-Klang di sini, pada Khamis kerana gagal mematuhi waktu larangan kenderaan berat beroperasi.

Pengarah Penguat Kuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, Operasi Khas Road Banned Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 bermula jam 12.30 tengah malam itu diketuai Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Selangor, Mazlini Yusof.

"Hasil pemeriksaan ke atas dua lori tersebut mendapati kedua-dua kenderaan berat itu telah melakukan kesalahan tidak mematuhi waktu larangan kenderaan berat.

"Pemeriksaan terhadap kedua-dua pemandu berusia lingkungan 50-an itu mendapati mereka tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL)," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, semakan juga mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insuran telah tamat tempoh.

Keadaan tayar salah sebuah lori yang disita pada Khamis. - Foto JPJ Selangor
Keadaan tayar salah sebuah lori yang disita pada Khamis. - Foto JPJ Selangor

Beliau menjelaskan, pihaknya mengesan pelbagai kesalahan teknikal terhadap salah sebuah lori terbabit termasuk tayar 'botak'.

"Tindakan tegas ke atas kenderaan tersebut dengan sitaan di bawah Seksyen 64 dan notis di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu lucut hak kenderaan.

"Kita tidak berkompromi kepada kenderaan 'overloading' di mana tindakan sitaan dan lucut hak akan dikenakan jika gagal mematuhi peraturan jalan raya.

"JPJ juga akan mengambil tindakan keras kepada tonto dan pegawai yang melindungi kegiatan ini," ujarnya.

Tambahnya, untuk sebarang aduan trafik bolehlah disalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-Aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan butiran aduan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!